Jan 2025 'Januari paling panas' dalam sejarah
Bulan lalu adalah Januari paling panas dalam rekod, menurut pemantau iklim Eropah pada Khamis (6 Feb), sekalipun La Nina yang lebih dingin mungkin akan menamatkan rentetan suhu global yang mencecah paras rekod.
Tempoh yang sedang dialami mungkin yang paling panas buat Bumi dalam masa 125,000 tahun. (Gambar: AFP/Tercio Teixeira)
PARIS: Bulan lalu adalah Januari paling panas dalam rekod, menurut pemantau iklim Eropah pada Khamis (6 Feb), sekalipun La Nina yang lebih dingin mungkin akan menamatkan rentetan suhu global yang mencecah paras rekod.
Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus, Januari 2025 adalah 1.75 darjah Celsius lebih panas berbanding zaman sebelum Revolusi Perindustrian, sekali gus melanjutkan paras tertinggi yang mencipta sejarah sepanjang 2023 dan 2024, apabila pelepasan gas rumah hijau yang disebabkan oleh manusia meningkatkan suhu global.
Para saintis iklim menjangkakan cuaca panas yang luar biasa ini akan reda selepas peristiwa El Nino yang memuncak pada Januari 2024 dan keadaan akan beransur-ansur beralih kepada fasa La Nina yang lebih dingin.
Cuaca panas ekstrem itu bagaimanapun terus berlarutan sehingga mencecah paras rekod atau hampir paras rekod sejak itu, mencetuskan perdebatan dalam kalangan saintis tentang faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan cuaca panas yang melampau.
"Inilah yang menjadikannya agak mengejutkan... anda tidak melihat kesan pendinginan ini, atau sekurang-kurangnya buat sementara waktu, pada suhu global yang kami jangkakan," kata Julien Nicolas, seorang saintis iklim dari Copernicus, kepada AFP.
La Nina dijangka melemah dan menurut Copernicus, suhu semasa di bahagian khatulistiwa Lautan Pasifik menggambarkan "pergerakan perlahan atau terhenti" ke arah fenomena tersebut.
Encik Nicolas berkata ia boleh hilang sepenuhnya menjelang Mac.
LAUTAN LEBIH PANAS
Bulan lalu, Copernicus menyatakan bahawa purata suhu global sepanjang 2023 dan 2024 melebihi 1.5 darjah Celsius buat kali pertama.
Ini tidak mencerminkan 1.5 darjah Celsius yang disasarkan dalam pelan jangka panjang di bawah Perjanjian Iklim Paris - tetapi menunjukkan dengan jelas bahawa had itu sedang diuji.
Para saintis memberi amaran bahawa kenaikan suhu melebihi 1.5 darjah Celsius akan meningkatkan kekerapan kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, hujan lebat dan kemarau.
Copernicus turut mendedahkan bahawa ais di Artik pada Januari telah mencecah paras rekod terendah bulanan, hampir sama dengan paras yang dicatatkan pada 2018. Analisis dari Amerika Syarikat minggu ini meletakkannya pada kedudukan kedua terendah dalam kumpulan data itu.
Secara keseluruhannya, 2025, tidak dijangka akan mengikut jejak 2023 dan 2024: para saintis meramalkan ia akan menduduki tangga ketiga paling panas setakat ini.
Copernicus akan memantau dengan teliti suhu lautan sepanjang 2025 untuk mendapatkan petunjuk tentang perubahan iklim.
Lautan adalah pengawal selia iklim yang penting dan perairan yang lebih sejuk boleh menyerap lebih banyak haba dari atmosfera, sekali gus membantu menurunkan suhu udara.
Suhu permukaan laut sangat panas sepanjang 2023 dan 2024, dan menurut Copernicus, bacaan pada Januari adalah yang kedua tertinggi dalam rekod.
"Itulah perkara yang sedikit membingungkan - mengapa ia kekal begitu panas," kata Encik Nicolas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.