'Jammer' dijumpai di lokasi pemilihan PKR, Kuala Selangor
Polis mengesahkan alat yang dijumpai di ruang atas tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang menjadi lokasi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2018 Cabang Kuala Selangor pada Ahad (29 Okt), merupakan satu alat bagi menghalang capaian isyarat internet, atau ‘Jammer’.
Gambar fail logo Polis Diraja Malaysia. (Gambar: AFP/Saeed Khan)
SHAH ALAM: Polis mengesahkan alat yang dijumpai di ruang atas tempat duduk Stadium Tertutup Kuala Selangor yang menjadi lokasi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2018 Cabang Kuala Selangor pada Ahad (29 Okt), merupakan satu alat bagi menghalang capaian isyarat internet, atau ‘Jammer’.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Md Asri A Wahab berkata ‘Mobile Phone Jammer 6 Antennas’ itu dijumpai di bahagian tempat duduk dalam stadium oleh petugas Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan, selepas pemilihan cabang itu ditangguhkan.
"Kes disiasat di bawah Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad (28 Okt).
Susulan masalah berkaitan internet, pemilihan PKR Cabang Kuala Selangor yang dijadualkan semalam (28 Okt) ditangguhkan.
Sebelum itu, satu laporan polis dibuat oleh seorang calon Ketua AMK Cabang Kuala Selangor, Encik R. Sabahbathi di Balai Polis Kuala Selangor kira-kira jam 2.00 petang menyusuli penemuan alat itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Encik Rashid Din ketika dihubungi Bernama berkata pemilihan di cabang Kuala Selangor terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan nanti berikutan masalah internet.
Beliau berkata JPP kecewa dengan dakwaan cubaan sabotaj di pemilihan cabang Kuala Selangor, selepas sistem e-undi tidak dapat dilaksanakan ekoran ketiadaan capaian internet, yang memaksa pihaknya mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan cabang itu pada jam 12.00 tengah hari.
"Laporan polis sudah dibuat mengenai penemuan alat itu dan kita harap polis dapat menjalankan siasatan terperinci,” kata Encik Rashid lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.