Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jamiyah, MASIS bantu agih bekalan makanan kepada warga M'sia terkandas di S'pura

Petugas barisan hadapan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura tidak dilupakan oleh Kerajaan Malaysia apabila mereka turut menerima sumbangan berupa bekalan makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
Jamiyah, MASIS bantu agih bekalan makanan kepada warga M'sia terkandas di S'pura

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 24 May 2020 09:31AM Dikemas Kini : 24 May 2020 10:00AM

SINGAPURA: Petugas barisan hadapan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura tidak dilupakan oleh Kerajaan Malaysia apabila mereka turut menerima sumbangan berupa bekalan makanan.

Selain petugas barisan hadapan, bekalan makanan turut diserahkan kepada sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas di negara ini sepanjang pemutus rantaian jangkitan bagi memerangi COVID-19 yang dikuatkuasakan sejak 7 April lalu.

Ia disalurkan melalui Persatuan Malaysia di Singapura (MASIS) dan Jamiyah Singapura, menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Proses penyerahan tersebut turut diuruskan oleh Agrobazaar Malaysia Singapura (ABMS), sebuah entiti milik FAMA, dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

Bernama difahamkan bahawa bekalan makanan berjumlah kira-kira RM45,000 diagihkan dalam tiga fasa mulai 11 Mei lalu.

Usaha kerajaan Malaysia menerusi FAMA dilakukan apabila menyedari terdapat rakyat Malaysia yang masih tinggal di Singapura kerana bimbang akan kehilangan pekerjaan sekiranya mereka pulang ke tanah air.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia dan MASIS juga turut mencari rakyat Malaysia yang tidak mempunyai tempat penginapan semasa langkah pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan di Singapura.

Kira-kira 100 kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia bertugas sebagai petugas barisan hadapan dan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan proses bagi ribuan rakyat Malaysia yang ingin pulang.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia adalah salah satu daripada Kedutaan Malaysia di luar negara yang diatur gerak oleh kerajaan Malaysia dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

Keprihatinan kerajaan Malaysia itu diharap dapat meringankan beban rakyat Malaysia di Singapura untuk mendapatkan bekalan makanan dan membuat persiapan menyambut Aidilfitri walau tidak seperti tahun sebelumnya.

Bekalan makanan itu juga bagi memastikan mereka tidak keluar ke tempat awam bagi membendung wabak COVID-19, kata agensi itu yang sudah melakukan lebih 20 program bantuan yang sama di Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Bekalan makanan yang diserahkan termasuklah 500kg sayur-sayuran dan buah-buahan; 300 set produk industri asas tani antaranya sardin, pes masakan, kuah kacang dan kordial dan dan 300 botol tart nanas.
 

Sumber : Bernama/AW/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan