Jambatan runtuh di 2 wilayah dekat sempadan Rusia-Ukraine, 7 maut
Gambar menunjukkan sebuah kereta api muatan rosak di tempat kejadian selepas jambatan kereta api runtuh di wilayah Kursk, Rusia pada 1 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Pejabat Pendakwa Raya Pengangkutan Antara Wilayah Mosko)
Agensi berita Reuters yang melaporkan kejadian itu bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada insiden yang berlaku di wilayah-wilayah yang berkongsi sempadan itu bersangkut paut. Wilayah di bahagian selatan Rusia sering diserang Ukraine dalam peperangan yang bermula lebih tiga tahun lalu.
Tujuh orang terbunuh manakala 69 cedera apabila sebuah jambatan lebuh raya runtuh ke atas landasan kereta api, menyebabkan kereta api yang lalu di wilayah Bryansk itu pada lewat Sabtu (31 Mei) tergelincir dari landasan, lapor kementerian kecemasan Rusia dan para pegawai peringkat wilayah.
Syarikat Kereta Api Rusia pada mulanya menulis di Telegram bahawa jambatan Bryansk runtuh akibat "gangguan terhadap operasi pengangkutan". Namun, mesej itu kemudian dipadamkan.
Gabenor Bryansk Alexander Bogomaz juga menulis di Telegram bahawa 47 orang dimasukkan ke hospital. Antara yang cedera termasuk tiga kanak-kanak dan seorang daripadanya dalam keadaan tenat, kata beliau.
Jambatan di wilayah Kursk itu runtuh pada pagi Ahad (1 Jun) ketika sebuah kereta api muatan sedang merentasinya, menurut Alexander Khinshtein, pemangku gabenor wilayah itu, dan syarikat Kereta Api Rusia menerusi mesej di Telegram.
Kementerian Situasi Kecemasan Rusia menyatakan di Telegram bahawa usaha mencari dan menyelamat mangsa dalam insiden Bryansk itu diteruskan sepanjang malam, dan kira-kira 180 kakitangan terlibat.
Antara yang terbunuh ialah pemandu kereta api berkenaan, lapor agensi berita negara Rusia, yang menukil sumber daripada paramedik.
Kereta api itu dalam perjalanan dari bandar Klimovo ke Mosko, menurut syarikat kereta api itu. Ia bagaimanapun merempuh jambatan runtuh di kawasan lebuh raya persekutuan di daerah Vygonichskyi di wilayah Bryansk, kata Encik Bogomaz. Daerah itu terletak sekitar 100km dari sempadan Ukraine.
Presiden Amerika Donald Trump menggesa Mosko dan Kyiv supaya berganding bahu untuk memuktamadkan perjanjian bagi menghentikan perang itu. Rusia menyarankan pusingan kedua rundingan secara bersemuka dengan para pegawai Ukraine di Istanbul pada hari Isnin (2 Jun).
Ukraine setakat ini belum memberikan sebarang komitmen untuk menghadiri rundingan tersebut. Menurutnya, ia perlu melihat usulan Rusia terlebih dahulu. Seorang senator terkemuka Amerika memberi amaran kepada Mosko bahawa ia akan dikenakan tindakan tegas menerusi sekatan-sekatan baharu Amerika terhadapnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.