Jambatan ekspreswe yang sedang dibina di Bangkok runtuh, 5 maut

Operasi menyelamat dijalankan selepas selepas sebuah jalan raya yang bertingkat yang sedang dibina di ibu kota Thailand runtuh pada Sabtu (15 Mac). (Gambar: AP/Panumas Sanguanwong)
Insiden tersebut, yang berlaku pada awal pagi di barat daya Bangkok, turut menyebabkan 24 orang lain cedera di tapak pembinaan itu, kata Menteri Pengangkutan Suriya Jungrungreangkit.
Encik Suriya mengutuskan ucapan takziah sambil menyatakan bahawa mangsa terbabit akan diberi wang pampasan daripada kontraktor dan agensi-agensi tertentu.
Beliau mendedahkan bahawa empat pekerja dan seorang jurutera maut, dan tiada mana-mana pengguna jalan raya terjejas memandangkan laluan trafik berdekatan tapak pembinaan itu ditutup ketika itu.
Komander polis Bangkok Siam Boonsom mengatakan bahawa pihak berkuasa masih menjalankan siasatan untuk menentukan punca runtuhan berkenaan dan mereka akan melaksanakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang didapati bertanggungjawab.
Beberapa gambar yang diambil daripada tapak berkenaan menunjukkan struktur logam dan konkrit yang besar, yang menjunam ke tanah lalu menyekat jalan tersebut sepenuhnya.
Pembinaan jambatan ekspreswe sepanjang 5km tersebut bermula pada 2022, menurut maklumat projek yang diterbitkan di laman Penguasa Ekspreswe Thailand.
Surachet Laophulsuk, gabenor agensi tersebut, mengatakan bahawa pihaknya sedang berusaha untuk menghapuskan serpihan tersebut secepat mungkin, meskipun akan mengambil masa selama seminggu. Beliau menambah bahawa kontraktor yang bertanggungjawab atas projek itu, telahpun digantung tugas selama 14 hari sedang siasatan dijalankan.
Tapak runtuhan yang berlaku pada Sabtu itu adalah sebahagian daripada jalan raya utama yang menghubungkan Bangkok ke bahagian selatan Thailand, yang sebelum ini dipalit kontroversi disebabkan kelengahan dalam kerja pembinaan dan nahas membawa maut yang kerap kali berlaku di pekarangan tapak tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.