Skip to main content

Dunia

Jambatan di Vietnam runtuh sedang Taufan Yagi ragut puluhan nyawa

Anggaran Waktu Membaca:
HANOI: Taufan Yagi, taufan paling kuat di Asia tahun ini, meragut puluhan nyawa di utara Vietnam dan menyebabkan kerosakan kepada prasarana dan kilang sedang ia menuju ke arah barat.

Demikian menurut anggaran pemerintah Vietnam pada Isnin (9 Sep).

Seramai 49 orang maut dan 22 lagi hilang, kebanyakannya disebabkan tanah runtuh dan banjir tercetus oleh taufan tersebut, dedah pemerintah negara itu.

Taufan Yagi melanda pantai timur laut Vietnam pada Sabtu (7 Sep), di mana terletaknya sejumlah besar kilang syarikat tempatan dan asing. Taufan tersebut kemudian bertukar menjadi ribut tropika pada Ahad (8 Sep), namun agensi metereologi memberi amaran pada Isnin mengenai banjir dan tanah runtuh yang bakal berlaku.

Taufan itu menyebabkan bekalan elektrik bagi berjuta isi rumah dan syarikat terputus, membanjiri jalan raya, mengganggu rangkaian telekomunikasi, meruntuhkan sebuah jambatan dan beribu pokok tumbang, sehingga aktiviti berkaitan ekonomi di pelbagai hab perkilangan terpaksa dihentikan.
Sebuah jambatan di wilayah Phu Tho runtuh pada Isnin, menurut pihak berkuasa.

"Biasanya, keadaan trafik di jambatan ini sangat sibuk, ia adalah jambatan penting di wilayah ini," kata seorang pegawai kanan dari jabatan pengangkutan Phu Tho. Beliau menambah bahawa tiada orang dilaporkan mati setakat ini.

Pihak berkuasa Vietnam menyatakan siasatan awal mencadangkan bahawa terdapat lapan kenderaan di atas jambatan tersebut semasa kejadian berlaku.

Agensi cuaca negara itu sebelum ini memberi amaran bahawa lebih banyak banjir dan tanah runtuh bakal berlaku, dan hujan lebat serta angin kencang dijangka pada Isnin, di ibu kota Hanoi yang mempunyai 8.5 juta penduduk.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita