Skip to main content

Dunia

Jalan raya menuju Masjidil Haram & kawasan sekitar disekat jelang ibadah Haji

Kurang seminggu sebelum bermulanya ibadah haji tahun ini, semua ibadah umrah digantung sejak Isnin (5 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

MAKKAH: Kurang seminggu sebelum bermulanya ibadah haji tahun ini, semua ibadah umrah digantung sejak Isnin (5 Jul).

Semua pendaftaran bagi 60,000 tempat kosong untuk naik haji tahun ini, yang hanya diperuntukkan bagi warga serta penduduk tetap Saudi, juga sudahpun ditutup dan kemuncak ibadah haji dengan wukuf di Arafah dijangkakan pada 19 Julai ini.

Sebagai persiapan memastikan ibadah haji dengan jumlah jemaah yang terhad di tengah-tengah pandemik kekal selamat,semua jalan raya menuju ke Masjidil Haram dan kawasan sekelilingnya mula disekat.

Selain bertujuan meningkatkan kawalan keselamatan mengekang para calon haji tidak sah, proses pembersihan dan pembasmian kuman diperhebat di kawasan-kawasan yang akan dibanjiri para jemaah haji kelak.

Denda 10,000 Riyal Saudi atau sekitar S$3,000 akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar dan memasuki kawasan larangan lain juga seperti, padang Arafah, Mina serta Muzdalifah mulai Isnin lalu.

Setakat Jumaat (9 Jul), 58 orang sudah ditangkap kerana cuba menyusup masuk.

Dari segi persiapan para calon haji tahun ini, semua pemilihan dan pembayaran pakej haji yang hanya ditawarkan Kementerian Haji dan Umrah Saudi perlu dilunaskan 10 jam selepas menerima pesanan SMS daripada pihak berkuasa sejak akhir bulan Jun.

"Saya berkumpul dengan teman-teman para mutawif untuk mendaftarkan diri untuk pembayaran pakej haji untuk orang-orang ekspatriat yang berada di Arab Saudi. Ternyata tadi untuk Ustaz Hanafi, hendak dibayar pakejnya tidak boleh sehinggakan kami mahu tidak mahu harus membayar melalui bank," kata seorang penduduk Makkah, Ustaz Muhammad Sofi Aw.

Buat julung-julung kalinya, semua proses pendaftaran dan pembayaran untuk haji 2021 dilakukan menerusi aplikasi bijak. Semua pembayaran haruslah dibuat secara online agar dapat mengelakkan pertemuan bersua muka.

Tahun ini, tiga pakej haji ditawarkan dengan yang paling murah adalah lebih 13,000 Riyal Saudi atau sekitar S$5,000, termasuk cukai 15 peratus.

Mereka yang terpilih untuk naik haji tahun ini tidak akan dibenarkan mengerjakan rukun Islam kelima ini lagi dalam tempoh lima tahun mendatang. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita