Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jalan raya KL kembali sesak setelah lebih ramai kembali ke tempat kerja

Jalan raya ibu kota Kuala Lumpur, Malaysia, sesak semula kerana lebih ramai orang kini boleh kembali ke tempat kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 14 Jun 2022 06:45PM Dikemas Kini : 14 Jun 2022 11:25PM
KUALA LUMPUR: Jalan raya ibu kota Kuala Lumpur, Malaysia, sesak semula kerana lebih ramai orang kini boleh kembali ke tempat kerja.

Malah, data menunjukkan kesesakan trafik sekarang lebih teruk berbanding keadaan sebelum pandemik COVID-19.

Para pemandu yang ditemui Mediacorp berkongsi bahawa memandu untuk perjalanan sejauh 10 kilometer dianggarkan mengambil masa hampir sejam.

Sungguhpun demikian, beratus-ratus ribu pemandu di ibu kota tersebut lebih "rela terkandas" dalam kesesakan daripada menggunakan pengangkutan awam.

AKSES KEPADA STESEN MRT PERLU DIPERBAIKI

Para pakar pengangkutan berkata dasar yang bercanggah dan perancangan yang lemah menjadi sebab utama kadar penggunaan pengangkutan awam di Malaysia tidak mencapai sasaran kerajaan sebanyak 40 peratus.

Perancang pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan berkata: "Ia tidak akan tercapai jika kita mempunyai dasar kenderaan nasional yang mahu membina lebih banyak kereta untuk dijual dan membina lebih banyak jalan raya bukanlah huraian kepada kesesakan trafik."

Buat masa ini, kurang 20 peratus penduduk KL menggunakan pengangkutan awam termasuk sistem kereta apinya.

Mantan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata lebih banyak perlu dilakukan demi menggalak para pemandu untuk berbuat demikian.

Beliau berkata: "Ini adalah satu masalah yang sulit kerana anda tidak mahu menggalak orang ramai membeli kereta tetapi apakah pilihan yang diberikan kepada mereka?

"Kerajaan perlu terus melabur kepada projek prasarana pengangkutan awam dan menghuraikan masalah dulu sebelum pendekatan lain seperti yuran kesesakan masuk ke bandar sekali gus membuat seseorang membeli kereta lebih sukar atau mengurangkan subsidi minyak."

Para pakar berkata langkah perlu diambil untuk menambahkan akses kepada stesen-stesen MRT itu.

Pihak berkuasa juga, kata mereka, perlu mencari cara-cara untuk memperbaiki pergerakan di peringkat mikro dan bukan setakat mengharamkan penggunaan skuter elektrik.

Encik Wan Agyl menambah: "Apa guna ada khidmat kereta api tetapi saya tidak boleh dapat akses. Tidak ada laluan bas juga yang lancar kecuali di beberapa kawasan tetapi semua bercampuran dalam trafik dan sesak. Adakah saya mahu mengambil risiko dijangkiti COVID-19?"

KERAJAAN BERJANJI AKAN MEMPERBAIKI KEADAAN

Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong berjanji akan memperbaiki khidmat pengangkutan awam tetapi menekankan kementerian beliau tidak harus dipersalahkan.

"Ya, ada kerja-kerja binaan sedang dijalankan yang akan menyebabkan kesulitan. Perancangan KL dilakukan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Tindakan penguatkuasaan bukan sahaja di bawah naungan Kementerian Pengangkutan (MOT) tetapi juga polis. Pengurusan aliran trafik bukan di bawah bidang kuasa MOT tetapi mereka salahkan MOT," kata Dr Wee.

Sementara itu, kelengahan dan kerosakan khidmat MRT turut menjejas keyakinan pengguna.

Sehingga masalah-masalah itu dapat dihuraikan, ramai orang besar kemungkinan lebih memilih untuk menggunakan kenderaan masing-masing dan memanfaatkan subsidi minyak yang sudah mencecah AS$8 bilion (S$11 bilion) tahun ini.
Sumber : CNA/RU/im

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa