Jalan kaki rentasi 11 negara dalam 11 bulan, jemaah haji dari Britain selamat tiba di Makkah

(Gambar: Agensi berita)
MAKKAH: Adam Muhammad, seorang jemaah umrah serta haji dari Iraq, akhirnya menjejakkan kaki di Makkah pada Rabu (29 Jun) setelah berjalan merentasi 11 negara dan mengambil masa hampir 11 bulan untuk ke tanah suci Islam.
Impian seumur hidup Adam itu menjadi nyata apabila beliau berjaya melakukan apa yang dianggap mustahil oleh ramai.
"Haji adalah hajat paling mulia yang teringin-ingin saya lakukan," ungkapnya setelah tiba di Makkah untuk menunaikan ibadah umrah dan meluangkan kebanyakan masanya di sekitar pekarangan Kaabah.
"Sejak perintah berkurung dikuatkuasakan menyusuli penularan pandemik koronavirus, saya mengisi waktu senggang dengan membaca dan memahami maksud Al-Quran. Setelah setahun setengah mendalami kitab suci itu, satu hari, saya bangun dari tidur dengan gerak hati yang menyuruh saya untuk berjalan kaki ke Makkah," katanya seperti dinukil Saudi Gazette.
Encik Adam memulakan perjalanannya dari Britain pada 1 Ogos 2021 untuk menuju ke Makkkah bagi menunaikan ibadah haji. Beliau membawa bersamanya sebuah beg troli tiga roda untuk mengangkut barangan peribadinya.
Jemaah berusia 52 tahun, yang sudah menetap di Britain selama sekitar 25 tahun, berkata persiapan yang dilakukan untuk membuat perjalanan ke tanah suci hanya mengambil masa dua bulan, dengan sebuah pertubuhan Britain menghulurkan bantuan kepadanya.
Walaupun menyifatkan perjalanannya ke Makkah sebagai sesuatu yang sukar, Encik Adam berkata beliau tidak berdepan dengan sebarang hambatan besar.
"Ramai yang membantu saya dalam perjalanan saya (ke Makkah) tetapi saya tidak pernah meminta pertolongan sesiapa pun," kata Encik Adam sambil menekankan bahawa apa yang dilakukannya itu bukanlah demi mengejar sebarang catatan rekod.
Satu rakaman video menunjukkan kegembiraan dan kepuasan diri menyelubungi jemaah Iraq itu apabila beliau tiba di destinasi terakhirnya, tanah suci Makkah.
Sebilangan penduduk Makkah dan jemaah yang berada di Masjid Ayesha di Al-Taneem turut berkongsi kegembiraan Encik Adam, yang mula berjalan kaki dari Britain 10 bulan dan 25 hari yang lalu dan merentasi sebanyak 11 negara.
Encik Adam mengucapkan terima kasih kepada penduduk Arab Saudi yang tidak henti-henti menghujaninya dengan sikap murah hati mereka sejak beliau tiba di negara itu.
Kini, beliau sibuk mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal bagi menunaikan ibadah haji yang akan berlangsung minggu depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.