Skip to main content

Dunia

Jakarta rai ulang tahun ke-497; kali terakhir selaku ibu negara Indonesia

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 22 Jun 2024 06:09PM Dikemas Kini : 22 Jun 2024 09:22PM

JAKARTA: Jakarta menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-497 pada Jumaat (22 Jun).

Ini sekali gus menjadi kali terakhir bandar itu memperingati acara tersebut selaku ibu kota Indonesia.

Penguasa Jakarta sedang mempersiapkan sebuah peta hala tuju agar bandar itu boleh terus kekal menjadi nadi ekonomi negara tersebut.

Namun, wawasan untuk meningkatkan Jakarta menjadi sebuah bandar global diulit pelbagai cabaran sedang pemindahan pusat pentadbiran negara ke Kalimantan terus berjalan rancak.

Jakarta berusia hampir 500 tahun dan bandar itu bakal membuka lembaran baharu dalam sejarahnya yang panjang.

Bandar itu akan secara rasmi hilang statusnya sebagai ibu kota Indonesia sebaik sahaja dekri presiden berhubung Ibu Kota Nusantara (IKN) ditandatangani.

Nusantara di wilayah Kalimantan Timur bakal menjadi ibu kota baharu pemerintah Indonesia.

"Bisa saya nanti yang menandatangani, bisa nanti juga presiden terpilih pemerintahan baru yang menandatangani," ujar Presiden Indonesia Joko Widodo.

Pada Mac lalu, para anggota parlimen menetapkan status khas bagi Jakarta untuk menyediakan sebuah rangka kerja sah bagi kedudukan bandar itu selepas Nusantara menjadi ibu kota Indonesia.

Jakarta akan kekal sebagai hab ekonomi negara dan sebuah bandar global - iaitu nadi bagi perdagangan, perkhidmatan, kewangan dan perniagaan - baik di dalam negeri mahupun peringkat antarabangsa.

Jakarta menyumbang hampir 17 peratus kepada ekonomi Indonesia dan pemerintah tempatan berharap dapat mengekalkan atau meningkatkan sumbangannya walaupun selepas kehilangan status ibu negara. Pentadbiran Jakarta kini sedang merangka pelan hala tuju untuk mengubah metropolis ini menjadi bandar raya global. Dokumen itu dijangka siap tahun ini.

Peta hala tuju itu akan memperincikan rancangan pembangunan Jakarta buat jangka masa panjang untuk tempoh 20 tahun seterusnya.

Mengulas lanjut mengenai peta hala tuju tersebut, Cik Sri Haryati, Penolong Setiausaha Wilayah bagi Ekonomi & Kewangan, Pemerintah Daerah Jakarta berkata: "Kita punya visinya itu. Jakarta, kota global, maju, berdaya saing dan berkelanjutan. Ya, yang terakhir ini penting karena kita ngomongin tentang isu isu terkait lingkungan, perubahan iklim dan lain-lain. Jadi sustainability juga hal yang sangat menjadi konsen dari Jakarta gitu. kita konsen bagaimana sumber daya manusia yang ada di Jakarta itu juga unggul produktif dan sejahtera pastinya kemudian juga ekonomi Jakarta itu tidak hanya tinggi tetapi juga inklusif, berdaya saing global dan juga berkelanjutan."

Buat bertahun-tahun lamanya, Jakarta dicengkam dengan masalah-masalah seperti banjir, akses teruk kepada air bersih, perumahan yang tidak memadai, pengurusan sisa yang lemah, kesesakan lalu lintas dan pencemaran.

"Kami punya slogan - Pulihkan Jakarta. Nah, cara pemulihan Jakarta salah satu faktornya adalah kita harus bangun peraturan-peraturan yang berpihak juga kepada kepentingan ekologi. Hal yang mungkin bisa dilakukan adalah bisa mengecek seberapa banyak penyumbang-penyumbang limbah yang masuk ke sungai. Pernah nggak kamu melakukan audit lingkungan yang lain sebagainya gitu?" kata Encik Syahroni Fadil, Pegawai Undang-Undang, Dasar Persekitaran, WALHI Jakarta.

Jakarta juga akan menjadi sebahagian daripada majlis "kelompok" untuk menyelaraskan rancangan pembangunan antara Jakarta dengan bandar-bandar satelitnya seperti Bogor, Depok, Tangerang dan Cianjur.

Menurut seorang pakar perancangan bandar, majlis itu - yang diberi mandat oleh undang-undang wilayah khas Jakarta - mungkin berdepan cabaran-cabaran dalam usahanya untuk cuba menghuraikan banyak masalah yang membelenggu Jakarta.


"Kepala-kepala daerah yang ada di Jabodetabekpunjur itu memiliki latar belakang partai politik yang berbeda, punya kepentingan berbeda. Jangan lupa punya agenda pembangunan tersendiri. Misal kalau tadi kita bicara soal banjir penyediaan air bersih untuk Jakarta, apakah persoalan itu juga sama bagi mereka? Sekarang kalau mereka dipaksa untuk ikut menanggulangi banjir, penyediaan air bersih gitu pasti akan muncul - untungnya mereka apa, buat kota mereka, buat konstituen mereka?" jelas Encik Nirwono Joga, Pengarah Eksekutif, Pusat bagi Kajian Bandar.

Penempatan semula ibu kota Indonesia ke Kalimantan Timur mungkin satu peluang baik buat Jakarta menyuntik kesegaran kepada bandar tersebut.

Seorang penduduk Jakarta, Wildan Arif Husen berkongsi: "Harapan pribadi saya sebetulnya Jakarta sebagai mantan ibu kota negara lah kita sebutnya, kita harus bisa melihat Jakarta ini tentunya ke depannya pertama bebas dari polusi, harapannya yang kedua tentunya infrastruktur nya diperbaharui lagi dan diperbanyak lagi terutama di kawasan kawasan terbuka ya untuk kawasan-kawasan seperti taman ataupun tempat olahraga diperbanyak lagi"

"Kayaknya kalau masalah dibilang selesai itu pasti nggak mungkin gitu ya. Masalah itu menurut saya sih bakal ada terus gitu atau mungkin nantinya dengan ada perpindahan ke IKN bisa saja masalahnya berubah gitu. Jadi sebelumnya nggak pernah ada, tiba tiba ada gitu," luah seorang lagi penduduk, V. Stella.

Pada November nanti, para penduduk Jakarta akan keluar mengundi bagi memilih gabenor untuk menerajui bandar itu dalam era pasca ibu negara, selama tempoh lima tahun seterusnya.

Meskipun Jakarta nanti tidak lagi mendukung status ibu negara Indonesia, para penduduknya tidak perlu gusar kerana mereka bakal menjadi yang pertama untuk merasai bagaimana hidup dalam sebuah bandar yang benar-benar nadi sejagat.

Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita