Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jagaan kesihatan COVID-19 di Korea Utara: Apa yang diketahui setakat ini?

Anggaran Waktu Membaca:
Jagaan kesihatan COVID-19 di Korea Utara: Apa yang diketahui setakat ini?

(Gambar: Kim Won Jin/AFP)

Diterbitkan : 13 May 2022 06:45PM Dikemas Kini : 13 May 2022 06:45PM

SEOUL: Korea Utara mengesahkan kematian pertama akibat COVID-19 hari ini (13 Mei) dan menyatakan bahawa demam sedang "merebak dengan pantas" di seluruh negara. Puluhan ribu orang diasingkan selepas mereka jatuh sakit.

Sebagai negara dengan salah satu khidmat kesihatan yang tidak lengkap di dunia dan penduduk yang tidak divaksin, pakar menyatakan bahawa negara itu akan berdepan cabaran untuk menangani jangkitan tersebut.

Berikut apa diketahui setakat ini:

KEADAAN KHIDMAT JAGAAN KESIHATAN

Korea Utara secara rasmi mempunyai sistem jagaan kesihatan yang paling teruk di dunia dan ada pada kedudukan ke 193 daripada 195 negara, berdasarkan tinjauan 2021 oleh Universiti Johns Hopkins.

Menurut pihak berkuasa, khidmat kesihatan diberikan percuma kepada rakyat namun kumpulan hak asasi manusia memaklumkan bahawa rakyat Korea Utara sudah sekian lama terpaksa membayar bagi khidmat penting perubatan - lazimnya dalam bentuk rokok ataupun minuman keras.

ADAKAH ORANG KOREA UTARA SIHAT?

Korea Utara sudah lama bergelut untuk mendapatkan makanan. Media tempatan mendedahkan tahun lalu bahawa negara itu berdepan "krisis makanan".

Pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa penduduk daripada golongan yang lemah berisiko kebuluran.

"Kebanyakan rakyat Korea Utara mengalami kekurangan teruk zat makanan," kata Lina Yoon, penyelidik kanan di Human Rights Watch.

Selepas dua tahun di bawah sekatan COVID-19 yang menutup sempadan, "hampir tidak ada ubat yang tinggal", tambah beliau.

ADAKAH MEREKA SUDAH BERSEDIA?

Korea Utara menutup sempadannya dua tahun lalu dan menghentikan perdagangan, menggantung penerbangan masuk dan dilaporkan mengeluarkan arahan tembak-untuk-bunuh bagi sesiapa yang cuba menyeberang secara haram daripada negara China.

Pyongyang mendakwa bahawa dasar yang kejam itu dapat mengekang virus namun mereka tidak menggunakan masa yang ada untuk menjalankan kempen vaksinasi.

Negara itu menolak tawaran tiga juta dos vaksin COVID-19 daripada China tahun lalu dan memaklumkan bahawa ia sepatutnya diberikan kepada "negara yang lebih memerlukan".

Korea Utara juga menolak vaksin AstraZeneca yang ditawarkan melalui skim Covax Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) disebabkan kebimbangan mengenai kesan sampingan, menurut sebuah badan pemikir Korea Selatan.

ADAKAH MEREKA PUNYAI PERALATAN?

Media negara mengumumkan minggu ini bahawa Korea Utara menggunakan "pemeriksaan gen yang ketat" untuk mendiagnosis pesakit COVID-19, namun pakar menyatakan negara itu mempunyai kapasiti ujian yang sangat terhad.

Penyelidik juga memaklumkan bahawa negara itu kekurangan pusat kuarantin dan sistem tekanan udara yang negatif. Sistem penyejukan diperlukan untuk mengagihkan vaksin mRNA.

BOLEHKAH DUNIA MEMBANTU?

China, Korea Selatan dan WHO serta-merta menawarkan sokongan. Pemerintah baru Seoul juga bersedia untuk menghantar vaksin ke negara itu.

Namun, rejim Kim Jong Un yang menguji tiga peluru berpandu balistik terlarang beberapa jam selepas mengumumkan kes COVID-19 pertama kelihatan seperti tidak menginginkan bantuan antarabangsa.

Negara itu mungkin tidak ada pilihan tidak lama lagi, menurut pakar.

Media pemerintah mendedahkan "demam" pertama kali dikesan pada hujung April dan menjelang 12 Mei di Korea Utara. Negara itu sudah mencatat 18,000 kes baru dalam sehari.

Sumber : AFP/FA/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa