Skip to main content

Dunia

Jacinda Ardern diberi anugerah kedua tertinggi New Zealand

Anggaran Waktu Membaca:
WELLINGTON: Mantan Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menerima satu daripada anugerah tertinggi negara itu sempena ulang tahun keputeraan diraja pada Isnin (5 Jun), lapor agensi berita Jerman (dpa).

Cik Ardern, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada Januari, dilantik sebagai “Dame Grand Companion of the New Zealand Order of Merit” atas sumbangan beliau kepada negara itu.

Ia merupakan anugerah kedua tertinggi selepas Order of New Zealand, yang hanya dianugerahkan kepada 20 orang yang masih hidup.

Cik Ardern sebelum ini pernah berkata bahawa beliau percaya New Zealand akan menjadi sebuah republik dalam hayatnya, dan beliau "teragak-agak" untuk menerima anugerah itu.

"Tetapi saya telah mendengar saranan ramai rakyat New Zealand untuk menerima anugerah ini. Jadi bagi saya, ini adalah satu cara untuk mengucapkan terima kasih kepada keluarga saya, kepada rakan sekerja, dan kepada orang-orang yang menyokong saya dalam melaksanakan peranan yang paling mencabar dan memberi kepuasan dalam hidup saya,” katanya dalam satu kenyataan."

Cik Ardern diberi pengiktirafan atas perkhidmatannya semasa berdepan beberapa "cabaran terbesar yang dihadapi negara", kata Perdana Menteri Chris Hipkins.

"New Zealand bertindak balas terhadap serangan pengganas pada 2019 (di Christchurch) dan pandemik COVID-19 merupakan cabaran yang hebat bagi Perdana Menteri ke-40 kita, di mana saya sendiri melihat bahawa komitmennya kepada New Zealand adalah mutlak."

Cik Ardern turut memberi tumpuan terhadap pengurangan kemiskinan kanak-kanak di New Zealand.

Beliau turut tersenarai dalam kategori "50 Pemimpin Terhebat Dunia" oleh Majalah Fortune pada 2021.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita