Skip to main content

Dunia

Jabatan Penjara M'sia sedia beri kerjasama kes kematian banduan di Johor

Anggaran Waktu Membaca:
Jabatan Penjara M'sia sedia beri kerjasama kes kematian banduan di Johor

Kompleks Penjara Kluang. (Gambar: Facebook/Chimah Usu)

Diterbitkan : 27 Jul 2022 06:03PM
KLUANG: Jabatan Penjara Malaysia sedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang pada 28 Jun lalu.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia Abdul Aziz Abd Razak turut memberi jaminan kepada masyarakat bahawa institusi penahanan dan pemulihan negara adalah selamat.

Beliau berkata setakat ini tidak timbul sebarang isu mengenai layanan terhadap tahanan dan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang terbukti melanggar sebarang prosedur dan melakukan kesalahan yang berkaitan.

"Namun selagi tidak dibuktikan perkara ini, kita tidak boleh mengambil apa-apa tindakan dan kita perlu menunggu siasatan polis," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ihtifal Kesenian Islam Perujian Tilawah, Tafsir dan Menghafaz al-Quran serta Pertandingan Nasyid peringkat penghuni Jabatan Penjara Malaysia 2022 di Dewan Sri Siantan, Penjara Kluang hari ini (27 Jul).

Pada masa yang sama, beliau meminta masyarakat supaya jangan membuat sebarang andaian atau spekulasi, terutamanya di media sosial berhubung kes berkenaan.

Semalam (26 Jul), Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata polis sudah mengambil keterangan daripada 12 individu iaitu tiga ahli keluarga, lima banduan di dalam sel yang sama serta empat kakitangan penjara berhubung kematian Kim Shih Keat, banduan yang berumur 36 tahun, di Penjara Kluang itu.

Kim dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun setelah menjalani hukuman penjara selama tujuh hari dan didenda RM15,000 (S$4,670) kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen pada 22 Jun lalu.

Bagaimanapun keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Kim mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Kim sudah meninggal dunia.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita