Jabatan Pendidikan Tinggi M'sia kata tidak campur tangan soalan ‘Zakir Naik ikon Islam’
Susulan daripada satu soalan peperiksaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menggambarkan pendakwah kontroversi Zakir Naik sebagai "ikon dalam dunia Islam”, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengambil pendirian tidak campur tangan.
Dr Zakir Naik. (Gambar: Malay Mail Online)
KUALA LUMPUR: Susulan daripada satu soalan peperiksaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menggambarkan pendakwah kontroversi Zakir Naik sebagai "ikon dalam dunia Islam”, Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengambil pendirian tidak campur tangan dalam urusan program akademik institusi tersebut.
Pejabat Ketua Pengarah JPT dalam kenyataannya pada Isnin (30 Dis) sebaliknya menyatakan pihak UniMAP dijangka akan memberi penerangan lanjut mengenai isu itu, lapor Malaysiakini.
“Jawatankuasa Akademik setiap universiti (termasuk Senat universiti) bertanggungjawab ke atas semua standard akademik masing-masing.
“Berdasarkan konsep autonomi universiti, pihak JPT tidak akan campur tangan dalam urusan perlaksanaan program akademik.
“Pihak JPT memegang kepada konsep autonomi dan kebertanggungjawaban.
“Melalui konsep ini, pihak universiti bertanggungjawab kepada semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar dan orang awam,” menurut kenyataan itu.
Soalan peperiksaan yang melibatkan Zakir Naik itu terkandung dalam kertas Peperiksaan Kursus Hubungan Etnik (UUW 235) UniMAP. Ia mengundang kritikan dari Naib Presiden Kongres India Malaysia (MIC) C Sivarrajh melalui catatan di Facebook beliau semalam (29 Dis).
Catatan itu turut memaparkan soalan peperiksaan yang dimaksudkan, yang berbunyi: "Zakir Naik merupakan salah satu ikon dalam dunia Islam. Beliau banyak berjasa dalam menyebarkan Islam yang sebenar dan mengikuti al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W.
"Beliau mampu berhujah dan manjawab setiap pertanyaan yang diajukan kepadanya dengan baik. Namun begitu di Malaysia, beliau tidak lagi dibenarkan untuk menyampaikan dakwah. Pada pendapat anda sebagai rakyat Malaysia, mengapakah hal ini boleh berlaku?"
Sementara itu, pilihan jawapan yang disediakan adalah 1) Rakyat Malaysia yang malas mengambil tahu, 2) Rakyat Malaysia yang mudah terancam tanpa usul periksa, 3) Rakyat yang bersifat menuruti sahaja tanpa usul periksa dan 4) Rakyat Malaysia yang bodoh tentang agama masing-masing.
Selepas ceramahnya di Kelantan pada Ogos lalu menjadi kontroversi, Encik Zakir yang berasal dari India, tidak dibenarkan menyampaikan ceramahnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.