Jabatan Negara AS tuntut pembebasan tokoh politik pembangkang Rusia
Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menuntut pembebasan segera tokoh pembangkang Rusia Alexei Navalny yang ditahan di lapangan terbang di Moscow sejurus beliau tiba dari Jerman.

Encik Alexei Navalny dan isterinya, Cik Yulia. (Gambar: AP/Mstyslav Chernov)
WASHINGTON: Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menuntut pembebasan segera tokoh pembangkang Rusia Alexei Navalny yang ditahan di lapangan terbang di Moscow sejurus beliau tiba dari Jerman.
Pada Ahad (17 Jan), Encik Navalny ditahan sebaik saja beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Sheremetyevo Moscow. Sebelum pulang ke Rusia, Perkhidmatan Penjara Persekutuan Rusia memberi amaran tentang tindakan menahan Navalny atas kesalahan melanggar parol kerana didapati bersalah melakukan dua kesalahan pentadbiran sebelum ini.
"Kami mendesak pemerintah Rusia supaya bersikap adil kepada semua parti politik dan calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya. Alexei Navalny bukanlah masalah. Kami menuntut pembebasannya secara langsung dan tanpa syarat," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo dalam kenyataannya.
Tambahnya lagi, "Rakyat Rusia, seperti semua orang, berhak mendapat pemerintah yang menyokong idea pasaran terbuka, pemerintahan yang telus dan bertanggungjawab, badan kehakiman yang bebas dan kemampuan menggunakan hak asasi manusia untuk bersuara dan berhimpun tanpa bimbang akan diambil tindakan."
Awal dari itu, berhubung pelbagai komen mengenai penahanan Navalny, jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova menasihati pegawai asing agar menghormati undang-undang antarabangsa dan memberi tumpuan kepada isu-isu dalam negeri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.