Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jabatan Negara Amerika luluskan penjualan peluru kereta kebal kepada Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Jabatan Negara Amerika luluskan penjualan peluru kereta kebal kepada Israel

Presiden Joe Biden. (Gambar fail: AP/Evan Vucci)

Diterbitkan : 10 Dec 2023 10:19AM Dikemas Kini : 10 Dec 2023 10:23AM
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden menyatakan pada Sabtu (9 Dis) bahawa ia telah meluluskan penjualan kecemasan kepada Israel hampir 14,000 butir peluru kereta kebal bernilai lebih AS$106 juta (S$142 juta) sedang Israel mempergiatkan operasi ketenteraannya di selatan Carikan Gaza.

Langkah itu diambil sedang permintaan Presiden Joe Biden bagi pakej bantuan hampir AS$106 bilion (S$142 bilion) untuk Ukraine, Israel dan keselamatan negara lain masih dibahaskan di Kongres, tersepit antara perdebatan mengenai dasar imigresen Amerika dan keselamatan sempadan negara itu.

Menurut sesetengah penggubal undang-undang Democrat, bantuan bernilai AS$14.3 bilion (S$19.2 bilion) yang disarankan bagi sekutunya di Timur Tengah, Israel, bergantung kepada langkah konkrit oleh pemerintah pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu untuk mengurangkan korban awam di Gaza semasa perang dengan Hamas.

Jabatan Negara Amerika menyatakan ia sudah memaklumkan Kongres mengenai penjualan itu pada lewat Jumaat selepas Setiausaha Negara Antony Blinken berpendapat bahawa "kecemasan yang timbul ini memerlukan penjualan segera" peluru demi kepentingan keselamatan Amerika Syarikat.

Ini bermakna pembelian peluru itu tidak memerlukan semakan Kongres untuk penjualan sedemikian kepada tentera asing.

Penjualan seumpama itu jarang berlaku, tetapi bukan bermakna ia tidak pernah dilakukan sebelum ini, apabila pentadbiran melihat keperluan mendesak untuk senjata dihantar tanpa menunggu ia diluluskan oleh para penggubal undang-undang.

“Amerika Syarikat komited terhadap keselamatan Israel, dan adalah penting bagi kepentingan negara ini untuk membantu Israel membangunkan dan mengekalkan keupayaan pertahanan diri yang kuat dan bersiap siaga. Penjualan yang disarankan ini adalah konsisten dengan objektif tersebut,” menurut jabatan itu dalam kenyataannya.

“Israel akan menggunakan keupayaan yang dipertingkatkan sebagai penghalang kepada ancaman serantau dan untuk mengukuhkan pertahanan negara itu.”

Penjualan itu bernilai AS$106.5 juta (S$142.9 juta) dan termasuk 13,981 peluru 120 mm Anti-Kereta Kebal Berbilang Guna dengan kelongsongnya serta sokongan, kejuruteraan dan logistik Amerika. Bahan-bahan itu diperolehi daripada inventori tentera Amerika.

Mengecualikan Kongres bagi penjualan kecemasan senjata adalah langkah luar biasa yang pada masa lalu mendapat tentangan daripada penggubal undang-undang, yang biasanya mempunyai tempoh masa untuk mempertimbangkan pemindahan senjata yang disarankan dan, dalam bagi sesetengah kes, menghalangnya.

Pada Mei, 2019, Setiausaha Negara ketika itu Mike Pompeo mewajarkan penjualan senjata bernilai AS$8.1 bilion (S$10.9 bilion) kepada Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Jordan selepas pentadbiran Presiden Donald Trump menghadapi masalah mengatasi kebimbangan penggubal undang-undang tentang perang pimpinan Arab Saudi-UAE di Yaman.
Sumber : AP/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan