Skip to main content

Dunia

Jabatan Kebajikan Masyarakat M'sia hampir 100% siap hadapi banjir

Anggaran Waktu Membaca:
BATU PAHAT: Kesiapsiagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terutamanya berkaitan dengan penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) serta bantuan kepada mangsa bagi menghadapi situasi banjir yang dijangka berlaku pada hujung tahun ini, mencapai tahap hampir 100 peratus.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata bagi menghadapi banjir tahun ini, kerajaan memperuntukkan RM9.16 juta (S$2.8 juta) berbanding RM7.3 juta (S$2.2 juta) tahun lepas. 

Beliau berkata sebanyak 6,010 PPS dikenal pasti yang boleh menempatkan sehingga 1.6 juta mangsa berbanding 5,731 PPS pada tahun lepas, selain 140 stor JKM negeri dan daerah.
Menurutnya, depoh-depoh JKM juga mula dipenuhi dengan barangan keperluan melibatkan lapan Depoh Utama Simpanan Keperluan Bencana iaitu di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor, Sarawak dan Sabah.

“Pada tahun ini, JKM turut bersiap sedia dengan seramai 5,067 pegawainya selain 195 pegawai psikologi dan kaunselor yang akan membantu melaksanakan intervensi krisis dan psikologi kepada mangsa serta petugas bencana.

“Seramai 1,075 orang daripada Pasukan Sokongan Psikologi yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara akan turut membantu,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading, di Batu pahat pada Khamis (15 Sep).

Cik Siti Zailah berkata 7,260 sukarelawan yang berdaftar dengan JKM di seluruh negara juga akan digerakkan untuk membantu setiap PPS yang dibuka serta semasa pascabencana.

Selain itu, menurutnya 326,500 ahli Skuad Waja juga sedia untuk digerakkan.

Terdahulu, beliau melawat mangsa banjir kilat yang ditempatkan di sekolah berkenaan sejak Rabu (14 Sep).
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita