Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jabatan Imigresen M'sia sudah lakukan tambah baik; rakyat lancar pulang undi PRU15

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen tidak menjangkakan akan berlaku kesesakan luar biasa di dua pintu masuk negara di Johor Bahru menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), terutamanya antara 16 hingga 19 November, lapora Astro AWANI.

Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud berkata, ia ekoran pelbagai penambahbaikan yang sudah dilakukan secara berfasa sejak tahun lalu.

Katanya pihaknya juga bersedia menerima dan menguruskan kemasukan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura untuk pulang, dengan menempatkan 1,200 pegawai imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan 670 Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

"Ini pandangan saya, saya tidak jangka akan berlaku peningkatan yang begitu ramai seperti semasa perayaan Deepavali kerana perayaan itu melibatkan warga asing iaitu warga Singapura yang turut masuk ke sini.

"Tetapi, untuk tujuan mengundi ini, hanya melibatkan rakyat Malaysia dan kebanyakan mereka yang bekerja di Singapura melakukan perjalanan harian iaitu 200,000 orang di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan kira-kira 100,000 orang di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

"Kami sudah mengambil tindakan persediaan sejak beberapa minggu yang lalu dan kami sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menguruskan rakyat Malaysia untuk pulang mengundi yang mana dijangka akan bermula 16 November sehingga 19 November ini," katanya ketika sidang media di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), BSI pada Rabu (9 Nov) seperti dilapor Astro AWANI. 

Turut hadir, Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir.

Encik Khairul Dzaimee berkata, di BSI, penambahbaikan dilakukan di semua laluan masuk bas, kereta dan motosikal.

"Bagi laluan bas, sebanyak 20 'autogate' atau pintu automatik yang berusia 10 tahun akan digantikan dengan 'autogate' yang baru.Daripada jumlah itu, 14 sudah siap dipasang dan enam lagi dijangka siap sepenuhnya dan beroperasi pada 15 November ini.

"Bagi laluan masuk kereta dari Singapura ke Malaysia, kerja tambah baik kaunter sedang dilakukan, di mana kita menggabungkan dua kaunter yang sebelum ini diasingkan untuk pemeriksaan Imigresen dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JP) dan PLUS.

"Hasil penggabungan ini, kecekapan trafik dapat ditingkatkan, dengan antara 10 hingga 11 saat boleh dijimatkan bagi sebuah kenderaan.

"Manakala, bagi laluan motosikal atau zon MBike, 45 kaunter laluan automatik dan lima laluan manual sudah siap diselenggara dan dalam keadaan yang baik," katanya, seperti dipetik Astro AWANI. 

Selain itu, Encik Khairul Dzaimee berkata, bagi persediaan di KSAB, 24 kaunter beroperasi dengan baik dan pihaknya turut mewujudkan 12 kaunter tambahan yang akan digunakan jika berlaku kesesakan di luar dugaan.

"Pengguna boleh menggunakan kereta api dari Woodlands ke BSI yang mana urusan pasport dibuat di Woodlands. Mereka tidak perlu berbaris dan boleh terus turun di BSI dan teruskan perjalanan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab beberapa persoalan atau kebimbangan sesetengah pihak sebelum ini yang mendakwa bakal mengalami kesukaran untuk pulang ke Malaysia untuk mengundi kerana mungkin berdepan dengan kesesakan di pintu-pintu masuk utama.

Mengikut data pergerakan keluar masuk di BSI sejak 1 Januari hingga 31 Oktober lalu, seramai 34,114,197 individu dicatatkan, dengan 26,381,918 daripada jumlah itu adalah warga Malaysia.

Manakala dalam tempoh sama di KSAB, terdapat 16,073,653 individu masuk dan keluar dari pintu masuk berkenaan. Dari jumlah itu 13,192,768 adalah warga Malaysia.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan