Jabatan Imigresen M'sia siasat dakwaan pasangan SG tidak dibenar masuk M'sia kerana pertikai tindakan pegawainya
(Gambar: Media sosial)
JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menyiasat dakwaan pasangan dari Singapura yang tidak dibenarkan memasuki Malaysia kerana mempertikaikan tindakan pegawainya, lapor Harian Metro.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Baharuddin Tahir ketika dihubungi pada Isnin (22 Mei) memaklumkan, isu itu dalam siasatan pihaknya.
Awal dari itu, seorang lelaki warga Singapura mendakwa diberi notis larangan memasuki Malaysia selama enam bulan kerana mempersoalkan cara seorang pegawai imigresen yang mengecop pasport mereka secara berselang muka surat.
Berkongsi pengalamannya di media sosial, lelaki itu berkata, kejadian berlaku ketika beliau dan isterinya dalam perjalanan ke Johor Bahru dan melalui pemeriksaan di Link Kedua dekat Gelang Patah pada Ahad (21 Mei).
"Kami terperangkap di pusat pemeriksaan selama sejam kerana hanya ada dua kaunter yang dibuka. Setibanya di kaunter, pegawai itu menyuruh kami menanggalkan penutup pasport kami dengan nada yang tidak sopan.
"Saya kemudian menanggalkan penutup dan memberikannya kepadanya dan selepas dia mengesahkan butir-butir kami, dia terus mengecop pasport.
"Setelah menyemak pasport, saya mendapati pegawai itu sengaja meninggalkan halaman kosong pada pasport saya. Begitu juga pasport isteri saya, dia cop pada muka surat 27, sebelum menconteng di atasnya dan cop semula di muka surat 28 tanpa sebarang sebab," katanya.
Lelaki itu kemudian meletakkan motosikalnya dan mereka berjalan ke pejabat di mana beliau bertanya seorang pegawai lelaki mengenai bagaimana prosedur untuk membuat aduan terhadap pegawai terbabit di kaunter.
Katanya, pegawai itu mengarahkannya membuat aduan secara online tanpa menjelaskan bagaimana aduan perlu dibuat.
"Pegawai itu juga meninggikan suara dan menyuruh kami buat di luar pejabat. Mereka tidak perlu buat seperti itu.
"Selepas beberapa kali isteri saya bertanya kepadanya tentang cara melakukannya di laman web, dia berasa jengkel dan mengambil pasport kami daripada kami. Kami dibawa ke pejabat lain di aras 2 di mana kami diberikan surat 'Penolakan Masuk' oleh seorang 'Asisten Superintenden Rexsus'.
"Kami meminta penjelasan mengapa diberikan surat 'Penolakan Kemasukan' sedangkan mereka hanya ingin tahu sebabnya, dia tidak dapat memberi jawapan.
"Sebaliknya, dia meninggikan suaranya dan secara sinis memberi kami pilihan untuk diharamkan dari Malaysia sama ada 6 bulan atau 1 tahun. Selepas itu, dia memberitahu kami diharamkan selama 6 bulan daripada memasuki Malaysia tanpa sebab yang sah," tulisnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.