Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan kesan kesalahan pada perhiasan ayat al-Quran di Nilai 3

Anggaran Waktu Membaca:
NILAI: "Salah sikit je". Itu reaksi spontan seorang pekerja warga asing yang bekerja di sebuah premis menjual hiasan dinding ayat al-Quran di kawasan perindustrian Nilai 3 apabila diberitahu terdapat kesilapan pada baris ayat Kursi yang dijualnya.

Kesalahan itu dikesan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menerusi operasi khas dilakukan dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) Negeri Sembilan dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Sabtu (31 Dis).

Sebelum itu lelaki dari negara Mesir yang berusia 35 tahun itu memberitahu hiasan ayat al-Quran berkenaan dibuat di Malaysia, namun terdiam apabila dipersoalkan oleh pegawai JHEAINS.

"Saya baru kerja dua bulan lebih di sini. Saya pun tak pasti ada ayat al-Quran yang salah kerana kesemua barang-barang ini dibawa oleh majikan saya.

"Saya tak tipu. Saya memang tak tahu," katanya kepada Sinar Harian ketika ditanya lanjut berkenaan perkara berkenaan.

Sementara itu Ketua Pegawai Penguatkuasaan JHEAINS, Nik Azlan Bin Nik Man berkata, operasi terbabit dilakukan susulan daripada penemuan longgokan hiasan dinding ayat al-Quran di Kawasan Perindustrian Arab Malaysia di Nilai baru-baru ini.

"Kejadian itu menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat beragama Islam dan merupakan satu kesalahan serius.

"Jadi berdasarkan risikan, kita melakukan pemeriksaan di beberapa premis dan mendapati terdapat banyak hiasan ayat al-Quran tidak sempurna dijual yang jelasnya melanggar Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al-Quran 1986," katanya.

Jelas beliau, menjadi peranan para peniaga untuk ambil perhatian terhadap hiasan ayat al-Quran yang dijual di premis mereka dan bukannya sekadar mencari keuntungan semata-mata, lapor Sinar Harian.

Katanya, meskipun hanya terdapat kesilapan kecil sama ada pada huruf atau baris ia akan memberi perubahan maksud ayat al-Quran terbabit.

"Jelasnya al-Quran ini tidak boleh ada kesilapan langsung walaupun sedikit. Jadi peniaga perlu pastikan hiasan ayat al-Quran yang dijual telah mendapat pengesahan KDN.

"Mereka boleh dikenakan tindakan jika didapati menjual hiasan al-Quran yang tidak mendapat perakuan KDN dan masyarakat pun sebaiknya buat semakan terlebih dahulu sebelum membeli," katanya.

Sehubungan itu katanya, kesemua barangan yang didapati tidak tepat ayat al-Qurannya dirampas KDN untuk dijadikan sebagai bahan bukti kes.

Sementara itu Timbalan Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS, Saiful Saadon pula, pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen, lapor Sinar Harian.

"Kedai ini dah beroperasi empat bulan. Sebelum ini kita dah pun minta pemilik buat permohonan lesen dan telah pun beri amaran. Tapi nampaknya pemiliknya masih tidak mengendahkannya.

"Jadi apabila operasi dilaksanakan dan didapati pula premis ini dijaga oleh pekerja warga asing, kita terpaksa menyitanya dan diarah tutup sehingga pemiliknya memperoleh lesen kerana itu adalah prosedur operasi standard ditetapkan (SOP)," katanya.

Hadir sama, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan