Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Jabatan Agama, Polis Johor siasat batu nisan 'hilang' di Pandan

Anggaran Waktu Membaca:

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan berhubung isu batu nisan yang 'hilang' di Tanah Perkuburan Islam Mukim Tebrau, Taman Istimewa di Pandan, Johor Bahru baru-baru ini. 

Pengarah JAINJ Jamaludin A Hamid berkata sehubungan itu, orang awam diminta bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara itu yang turut tular di laman Facebook sejak Jumaat lalu (28 Apr).  

"JAINJ mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan isu kehilangan batu nisan di tanah perkuburan tersebut sehingga menimbulkan kerisauan dalam kalangan waris dan masyarakat. 

"Justeru, kita mencadangkan langkah wajar yang perlu ditambah baik dan disenggara oleh pengurusan tanah perkuburan berkenaan bagi mencegah kegiatan kecurian ini daripada terus berlaku," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad (30 Apr). 

Pada Sabtu (29 Apr), Bernama melaporkan sebanyak 11 batu nisan di tanah perkuburan berkenaan 'hilang', dipercayai dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab untuk dijual semula.

Menerusi tinjauan yang dilakukan di tanah perkuburan itu pada Sabtu, kebanyakan batu nisan yang dicuri adalah jenis batu sungai yang harganya mencecah lebih RM450 (S$134.72) bagi satu set.

Turut hilang batu nisan putih yang dipercayai berharga RM350 (S$104.78) satu set di pasaran.

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan