Jabatan Agama Islam Perak siasat upacara tolak banjir Raja Bomoh
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim Mat Zin, atau bergelar Raja Bomoh, berhubung upacara menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan seperti tular di media sosial pada Rabu (5 Jan).
IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim Mat Zin, atau bergelar Raja Bomoh, berhubung upacara menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan seperti tular di media sosial pada Rabu (5 Jan).
Pengarah JAIPk Mohd Yusop Husin berkata kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam, menurut laporan Astro AWANI.
"JAIPk membuka kertas siasatan berhubung perkara ini. Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara seumpama ini dan menjauhi apa juga amalan yang menjurus kepada khurafat," katanya hari ini seperti dinukil Astro AWANI.
Video sepanjang 25 minit yang tular di Facebook itu menampilkan Ibrahim bersama seorang wanita yang dikenali sebagai 'Puteri Zaleha'. Mereka berdua kelihatan melakukan upacara tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.
Berdasarkan video itu, kedua-dua individu itu juga menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu serta senaskhah kitab suci Al-Quran dan surah Yassin dalam upacara itu.
"Kita minta semua tempat di Malaysia, turun air, bukan kata di Teluk Intan sahaja, tapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia," kata Ibrahim dalam rakaman video tersebut seperti dinukil Astro AWANI.
Dalam rakaman video itu, Zaleha turut kedengaran sedang menyanyikan lagu Mayang Sari.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.