Itali lapor lebih 400 kes cacar monyet sedang WHO isytihar kecemasan kesihatan global
Lebih 400 kes cacar monyet dicatatkan di Itali, kata Ketua Pengarah Bahagian Pencegahan Kementerian Kesihatan negara itu, Gianni Rezza, selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak penyakit itu sebagai kecemasan kesihatan awam.
Pada Sabtu (23 Jul), Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus mengumumkan bahawa wabak cacar monyet diisytiharkan sebagai darurat kesihatan global.
Encik Rezza dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata Itali sudah mencatatkan 407 kes cacar monyet setakat ini tetapi keadaan terkawal, lapor agensi berita Sputnik.
Dr Ghebreyesus berkata walaupun wabak cacar monyet diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global, "buat masa ini kebanyakan kes tertumpu dalam kalangan lelaki yang mengadakan hubungan seks dengan lelaki, terutamanya mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual".
Pada masa yang sama, beliau menyeru semua negara supaya bekerjasama rapat dengan kumpulan yang terjejas, meningkatkan kempen kesedaran selain memberi amaran terhadap diskriminasi dan stigma.
Menurut ketua pengarah WHO, lebih 16,000 kes cacar monyet dilaporkan di 75 negara dan wilayah, dengan lima kematian setakat ini.
Kebanyakan pesakit pulih daripada jangkitan wabak itu selepas beberapa minggu tanpa rawatan.
Menurut WHO, cacar monyet lebih menjejas kanak-kanak kecil, wanita hamil dan individu yang mengalami gangguan sistem imun.
Virus cacar monyet tidak mudah berjangkit dan biasanya akan merebak melalui kontak fizikal yang rapat, termasuk hubungan seks dengan individu yang terjangkit.
Ia boleh menjangkiti tubuh manusia melalui saluran pernafasan, mata, hidung dan mulut serta melalui cecair tubuh.
Cacar monyet adalah sejenis penyakit zoonosis (yang merebak antara haiwan dan manusia).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.