Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Itali isytihar darurat di 5 wilayah utara angkara kemarau

Perdana Menteri Mario Draghi bersetuju mengeluarkan dekri darurat untuk wilayah Emilia-Romagna, Friuli-Venezia Giulia, Lombardy, Piedmont dan Veneto, berikutan kemarau yang melanda Sungai Po dan lembangan Alpine timur.

Anggaran Waktu Membaca:
Itali isytihar darurat di 5 wilayah utara angkara kemarau

Sungai Po di Borett pada 15 Jun 2022. (Gambar: Piero Cruciatti/AFP)

ROME: Itali pada Isnin (4 Jul) mengisytiharkan darurat di lima wilayah utara yang paling terjejas akibat dilanda kemarau, lapor agensi berita Anadolu. 

Mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Mario Draghi, bersetuju mengeluarkan dekri darurat untuk wilayah Emilia-Romagna, Friuli-Venezia Giulia, Lombardy, Piedmont dan Veneto, berikutan kemarau yang melanda Sungai Po dan lembangan Alpine timur. 

Pemerintah turut memperuntukkan €36.5 juta (S$53.2 juta) bagi menangani krisis itu. Peruntukan terbesar daripada dana itu iaitu €10.9 juta (S$15.9 juta) akan disalurkan kepada wilayah Emilia-Romagna.

Itali dilanda kemarau terburuk dalam tempoh 70 tahun. Paras air di daerah-daerah di wilayah utara menyusut hingga separuh sejak awal tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beberapa majlis perbandaran di utara terpaksa mengambil langkah-langkah pencatuan air minum dan pengairan pertanian berikutan suhu melampau sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Para pakar turut memberi amaran bahawa krisis kemarau di seluruh negara mengancam 30 peratus pengeluaran pertaniannya dan setakat ini menyebabkan kerugian bernilai hampir €3 bilion (S$4.4 bilion) dalam sektor pertanian.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan