Skip to main content

Dunia

Itali catat suhu musim panas tertinggi dalam lebih 75 tahun

Itali mencatat musim panas paling buruk sejak 1950 tahun ini, dengan suhu purata pada 24.3 darjah Celsius, menurut Institut BioEkonomi Majlis Penyelidikan Nasional (CNR-IBE) pada Isnin (7 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Itali catat suhu musim panas tertinggi dalam lebih 75 tahun

Seorang wanita menyejukkan diri dengan menggunakan kipas tangan berhampiran Colosseum ketika gelombang haba melanda Rome, Itali, pada 3 Ogos 2026. (Gambar: REUTERS/Remo Casilli)

Diterbitkan : 08 Sep 2026 10:21AM
  • Institut BioEkonomi Majlis Penyelidikan Nasional (CNR-IBE) melaporkan Itali mengalami musim panas paling panas sejak 1950, dengan suhu purata 24.3 darjah Celsius pada 2026.
  • Ogos 2026 mencatat rekod baharu dengan suhu purata 25.6 darjah Celsius, melebihi rekod tahun-tahun sebelumnya.
  • Kawasan paling terjejas ialah tanah rendah barat laut dan Banjaran Apennine, yang memberi tekanan kepada sektor pertanian akibat suhu tinggi dan kemarau.
  • Bandar utama seperti Rome, Florence dan Turin mengalami gelombang haba berulang, mencerminkan trend pemanasan global yang turut menjejaskan Eropah dan Britain.
Dijana oleh AI
ROME: Itali mencatat musim panas paling buruk sejak 1950 tahun ini, dengan suhu purata pada 24.3 darjah Celsius, menurut Institut BioEkonomi Majlis Penyelidikan Nasional (CNR-IBE) pada Isnin (7 Sep).

Ogos merupakan bulan paling panas pada 2026, dengan suhu purata pada 25.6 darjah Celsius, iaitu 5.2 darjah Celsius lebih tinggi berbanding purata 1951 hingga 1980 dan 3.5 darjah Celsius mengatasi purata 1991 hingga 2020, menurut badan awam itu. Angka tersebut berdasarkan bacaan yang diambil dua meter dari paras tanah.

“Suhu purata 25.6 darjah Celsius yang dicatatkan pada Ogos 2026 mengatasi rekod sebelumnya, iaitu 24.6 darjah Celsius pada 2024 dan 24.0 darjah Celsius pada Ogos 2017,” kata penyelidik CNR-IBE Lorenzo Arcidiaco.

Encik Arcidiaco berkata data menunjukkan 2026 berkemungkinan menjadi tahun paling panas di Itali sejak data yang dikajinya mula dikumpulkan pada 1950, dengan Julai dan Ogos masing-masing mencatat suhu tertinggi dalam rekod.

CNR merupakan institusi penyelidikan awam terbesar di Itali.

Sebahagian besar Eropah, benua yang mengalami pemanasan pada rentak paling pantas di dunia, berdepan musim panas yang terik, dengan kemarau dan kebakaran hutan menjadi masalah yang semakin membimbangkan.

Britain juga turut mencatat musim panas paling buruk sejak rekod dimulakan.

Kawasan di Itali yang paling terjejas tertumpu di kawasan tanah rendah di barat laut dan sepanjang Banjaran Apennine. Kebanyakannya merupakan kawasan pertanian, di mana suhu lebih tinggi dan keadaan kemarau memberi tekanan kepada kegiatan pertanian.

Analisis berasingan terhadap data cuaca menunjukkan bandar-bandar utama seperti Rome, Florence dan Turin dilanda gelombang haba berulang kali pada Jun, Julai dan Ogos.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita