Itali berkas 18 individu dipercayai pengaruhi, jual kanak-kanak
Polis Itali memberkas 18 orang termasuk seorang datuk bandar, doktor dan pekerja khidmat sosial kerana dipercayai mempengaruhi kanak-kanak lemah untuk memikirkan kononnya mereka didera oleh ibu bapa kandung mereka dengan tujuan menjual mereka kepada ibu bapa titipan.
ROME: Polis Itali memberkas 18 orang termasuk seorang datuk bandar, doktor dan pekerja khidmat sosial kerana dipercayai mempengaruhi kanak-kanak lemah untuk memikirkan kononnya mereka didera oleh ibu bapa kandung mereka dengan tujuan menjual mereka kepada ibu bapa titipan.
Para pegawai polis di bandar Reggio Emilia di bahagian utara Itali memberkas mereka berdasarkan hasil siasatan yang dimulakan pada 2018.
Siasatan itu mendedahkan sekumpulan penjaga yang menggunakan pelbagai kaedah, termasuk kejutan elektrik untuk membuat kanak-kanak itu percaya mereka telah didera secara seksual.
Mereka kemudian dipercayai menyerahkan kanak-kanak itu kepada keluarga titipan sebagai pertukaran untuk wang tunai, tetapi hadiah dan surat yang dihantar kepada kanak-kanak itu oleh ibu bapa kandung mereka disimpan dan disembunyikan di dalam sebuah gedung yang ditemui oleh polis.
Penderaan itu dilaporkan oleh media Itali dan disahkan kepada agensi berita AFP oleh pihak polis Bibbiano, yang terletak berhampiran Reggio Emilia, pada Khamis (27 Jun).
"Tuduhan-tuduhan itu, jika disahkan membimbangkan dan mengejutkan," kata Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte di Sidang Puncak G20 di Jepun.
Para suspek termasuk ahli psikoterapi yang bekerja di persatuan khidmat sosial di Moncalieri, berhampiran bandar Turin serta, datuk bandar Bibbiano.
"Menurut para penyiasat, kumpulan yang diberkas itu bertujuan merampas kanak-kanak berkenaan daripada keluarga yang mengalami masalah sosial dan menyerahkan mereka kepada ibu bapa lain bagi mendapatkan duit," menurut laporan akhbar Corriere della Sera.
Sesetengah ibu bapa titipan pula dituduh mendera kanak-kanak berkenaan secara seksual, lapor akhbar La Repubblica.
Polis enggan mendedahkan jumlah kanak-kanak yang terlibat atau usia mereka.
Kes itu melibatkan beratus-ratus ribu euro, lapor media Itali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.