Skip to main content

Dunia

Isu usul undi percaya, tidak percaya terhadap PM Muhyiddin dibangkitkan di parlimen

Isu berhubung usul undi tidak percaya dan undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan antara yang dijangka dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat, pada Khamis (10 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Isu usul undi percaya, tidak percaya terhadap PM Muhyiddin dibangkitkan di parlimen

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 10 Dec 2020 10:23AM Dikemas Kini : 10 Dec 2020 10:26AM

KUALA LUMPUR: Isu berhubung usul undi tidak percaya dan undi percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merupakan antara yang dijangka dibangkitkan dalam sidang Dewan Rakyat, pada Khamis (10 Dis).

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Encik Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta perdana menteri menyatakan bilakah 25 usul undi tidak percaya dan dua usul undi percaya akan dibentang, dibahas dan diundi di Dewan Rakyat pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri.

Encik Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan strategi jangka pendek kementerian bagi memastikan aktiviti pelancongan domestik dapat dioptimumkan semula susulan kebenaran rentas negeri dan daerah oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sesi soal jawab lisan, Cik Wong Shu Qi (PH-Kluang) membangkitkan persoalan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau cukai kekayaan untuk meningkatkan pendapatan kerajaan.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan.

Tiga kementerian berkenaan ialah Kementerian Belia dan Sukan, Sumber Manusia serta Komunikasi dan Multimedia yang dijangka hangat ekoran peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang menjadi pertikaian kebanyakan Ahli Parlimen.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menjenamakan semula JASA sebagai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) dengan peranan dan fungsi berbeza.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita