Isu persenda agama: Pengendali Era FM didenda RM250,000, tidak digantung lesen
Lesen Maestra Broadcast Sdn Bhd tidak digantung Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC). Namun, pengendali stesen radio Era FM itu dikenakan denda sebanyak RM250,000 (S$75,440).
Penyampai radio Era FM (dari kiri) Azad Jasmin, Nabil Ahmad dan Radin Amir Affendy terkait video kontroversi yang mempersendakan agama lain. (Gambar: Facebook/ERA Malaysia)
MCMC dalam kenyataan memaklumkan denda itu, yang dikeluarkan selepas menerima izin daripada Jabatan Peguam Negara Malaysia, adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan dan berkuat kuasa mulai 11 Feb 2025) iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM.
Menurut kenyataan tersebut, MCMC menerima rayuan daripada Maestra Broadcast berhubung notis niat penggantungan lesen yang dikeluarkan kepada syarikat itu pada 7 Mac.
"Setelah meneliti hujah-hujah rayuan tersebut, keputusan telah dibuat untuk tidak menggantung lesen Maestra Broadcast.
"Dalam membuat keputusan tersebut, pertimbangan juga telah diberikan terhadap tindakan-tindakan susulan yang telah dilaksanakan oleh syarikat pemegang lesen, permohonan maaf oleh pihak terbabit serta kesan penggantungan terhadap stesen radio Melody dan Mix FM yang beroperasi di bawah lesen yang sama," katanya.
Menurut kenyataan tersebut, MCMC memandang serius sebarang tindakan memuat naik kandungan dalam talian yang boleh mengakibatkan ketegangan antara agama atau mengganggu keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Semua pengendali dan pengguna platform diingatkan untuk sentiasa bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama di Malaysia serta mematuhi undang-undang negara," katanya.
Pada 4 Mac, tiga pengacara radio Era FM memohon maaf berhubung video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu iaitu upacara suci yang dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.
Video itu, yang sudah diturunkan dari platform media sosial stesen terbabit, memaparkan aksi seorang daripada mereka yang didakwa meniru tarian kavadi sambil menyebut ‘Vel Vel’, disusuli gelak tawa rakan lain.
Klip video tersebut mengundang kritikan ramai kerana dikatakan mempersenda tradisi penganut agama lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.