Skip to main content

Dunia

Isu Laut China Selatan tidak mustahil diatasi, kata PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Tiada penyelesaian mudah bagi tuntutan bertindih wilayah di Laut China Selatan.

Namun masalah itu bukanlah satu yang tidak dapat diatasi selagi ada ruang dialog, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam temu bual dengan China Daily, semasa lawatannya ke China minggu lalu.

Dalam temu bual dengan syarikat media berbahasa Inggeris terbesar di China itu dan diterbitkan pada Selasa (4 April), Encik Anwar menegaskan isu Laut China Selatan tidak seharusnya menjadi "isu besar" dan dialog dengan negara-negara ASEAN lain yang turut menuntut hasil sumber laut itu harus dilihat sebagai jalan penyelesaian.

“Saya telah menyatakan bahawa kita mempunyai potensi minyak dan gas di kawasan itu dan kita perlu meneruskan tuntutan di kawasan itu tetapi pihak China mahu membincangkannya, jadi kita berbincang.

“Saya percaya tiada penyelesaian mudah untuk masalah itu. Sambil kita menganggap satu sama lain sebagai kawan, kita terus berdialog, masalah ini bukanlah satu yang tidak boleh diatasi,” katanya.

Encik Anwar berkata beliau gembira kepimpinan China juga bersetuju untuk terlibat dalam sesi dialog dan mewujudkan kesefahaman yang perlu mengenai isu itu.

“Saya akan katakan perkara yang kita persetujui ialah 95 peratus, dan lima (peratus) kita tidak bersetuju, ia tidak sepatutnya menimbulkan masalah,” kata Encik Anwar.

Dalam temu bual itu, Encik Anwar turut menekankan bahawa rantau Asia Tenggara harus terus diterajui ASEAN berteraskan dasar berkecuali dan zon aman kumpulan itu, di samping menjalin hubungan baik dengan semua negara.

“ASEAN konsisten dalam memastikan kita terus menjalin hubungan baik dengan semua negara. 

“Pendirian ASEAN adalah untuk terus mengadakan penglibatan dialog yang rancak dan mantap dengan China, kerana ia memberi manfaat bukan sahaja kepada Malaysia tetapi semua negara ASEAN,” katanya.

Encik Anwar juga berpendapat bahawa negara-negara anggota ASEAN perlu bersatu dan mencapai persetujuan mengenai isu-isu yang utama mempengaruhi rantau itu.

“Saya juga katakan tidak kepada AUKUS. Kami mempunyai kebimbangan khusus mengenainya kerana ia mungkin meningkatkan ketegangan di rantau ini. Jika tidak kedudukan kami kekal sama,” katanya merujuk kepada pakatan keselamatan antara Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat yang diwujudkan untuk mengekang pengaruh China di rantau itu.

"Pendirian kami sentiasa berhubung, sentiasa mengadakan dialog," tegasnya.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita