Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isu hutang negara, kes rasuah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Kedudukan terkini jumlah hutang negara, bantuan Malaysia kepada pemerintah Turki dan Syria berikutan bencana gempa bumi serta isu kes rasuah antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat pada Selasa (14 Feb).

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, soalan berkenaan akan dijawab oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Bagi soalan berkaitan hutang negara yang dibangkitkan Encik Wong Kah Woh (PH-Taiping), beliau turut meminta Perdana Menteri menyatakan punca kenaikan hutang negara setiap tahun serta usaha kerajaan menyelesaikannya.

Encik Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar), yang bertanyakan mengenai gempa bumi, turut meminta perincian kos keseluruhan atur gerak anggota Pasukan Mencari Dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dihantar ke kawasan bencana di Turki dan Syria.

Sementara itu, Encik Lo Su Fui (GRS-Tawau) yang bertanyakan mengenai penyiasatan kes rasuah meminta Perdana Menteri menyatakan strategi penambahbaikan dan tumpuan utama kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memastikan penyiasatan jenayah itu mendatangkan kesan yang besar.

Semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan, Encik Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) bertanyakan kepada Menteri Komunikasi dan Digital mengenai dasar jangka masa pendek, pertengahan dan panjang Kementerian terhadap aplikasi media sosial seperti TikTok yang disalah guna hingga menjejaskan perpaduan rakyat.

Encik Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan inisiatif yang dirangka di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) serta perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang kementerian itu untuk menangani bebanan kos sara hidup yang tinggi.

Selepas sesi soal jawab, Perdana Menteri dijadual membentangkan usul bagi menubuhkan Jawatankuasa Pemilih yang akan dipengerusikannya serta melantik enam Ahli Parlimen lain.

Selain itu, turut dibentangkan ialah usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja yang akan menyaksikan ahli-ahli Dewan Rakyat mengambil bahagian dalam perbahasan usul.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 29 hari sehingga 30 Mac.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan