Isu HSR, Perjanjian Air tidak gugat hubungan M'sia-S'pura, kata Menteri Luar M’sia
Penangguhan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan kajian semula Perjanjian Air 1962 tidak merencatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah.
Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah. (Gambar: BERNAMA)
SINGAPURA: Penangguhan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dan kajian semula Perjanjian Air 1962 tidak merencatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura, kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah.
Sebaliknya, katanya, kedua-dua pemerintah melihat isu HSR dan perjanjian air sebagai perlu ditangani tetapi tidak seharusnya menggugat hubungan baik dua hala yang sedia ada.
Malah, kedua-dua pemerintah mahu mempertingkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara, katanya kepada Bernama pada lawatan rasmi pertama ke Singapura atas undangan rakan sejawatannya, Dr Vivian Balakrishnan.
Kunjungan tersebut adalah sebahagian daripada siri lawatan pengenalan Encik Saifuddin selepas dilantik sebagai Menteri Luar baru pada 2 Julai.
Encik Saifuddin, yang tiba pada Isnin (30 Jul) untuk lawatan rasmi dua hari itu, diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Wisma Putra.
Selepas jamuan tengah hari dihoskan oleh Dr Balakrishnan, Encik Saifuddin mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
Menurut Saifuddin, projek HSR dan perjanjian air dibangkitkan semasa pertemuan dengan Encik Lee dan Dr Balakrishnan.
“Saya memberi penjelasan terbaik mungkin mengenai kedua-dua isu tersebut.
“Kami melihat gambaran yang lebih besar...bagi hubungan bilateral, ia masih kukuh dan kami mahu berkerja keras untuk membawanya ke tahap yang lebih tinggi,” katanya yang dijadual mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean, hari ini.
Mengenai projek HSR, Saifuddin berkata beliau memaklumkan kepada Encik Lee dan Dr Balakrishnan bahawa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali akan berkunjung ke sini untuk mengadakan perbincangan dalam masa terdekat.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamed berkata projek HSR ditangguhkan kerana Malaysia tidak mampu buat masa ini.
Menyentuh tentang Perjanjian Air 1962 pula, Encik Saifuddin berkata terdapat klausa dalam perjanjian untuk mengkaji semula perjanjian untuk membekalkan air ke negara itu.
“Saya berpendapat isu cadangan dan cadangan balas mengenai isu bekalan dan rawatan air boleh dibincang dan diselesaikan,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.