Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Isu gegelang sotong didakwa usus babi masih disiasat, tindakan tegas terhadap ketidakpatuhan

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak terhadap peraturan ditetapkan berkaitan isu sotong ring atau gegelang sotong yang didakwa sebagai dubur atau usus babi yang dijual di pasaran.

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan oleh mana-mana pihak terhadap peraturan ditetapkan berkaitan isu sotong ring atau gegelang sotong yang didakwa sebagai dubur atau usus babi yang dijual di pasaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad pada Jumaat (11 Mac) berkata ia bagi menjaga kemaslahatan masyarakat.

"Hasil siasatan berhubung isu itu akan dimaklumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa berkaitan setelah keputusan analisis makmal dikeluarkan oleh Jabatan Kimia Malaysia. Sampel makanan tersebut telah dihantar kepada jabatan itu (Jabatan Kimia Malaysia) untuk tujuan analisis dan pengesahan.

"Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Agama Islam negeri-negeri berkaitan telah mengambil tindakan awal sebaik isu tersebut ditularkan dengan turun padang menjalankan siasatan serta mengambil sampel untuk dianalisis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pada masa sama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menghubungi badan pensijilan halal di China iaitu Shandong Halal Certification Services bagi mendapatkan pengesahan berhubung sijil halal produk berkenaan.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial mengenai dakwaan gegelang sotong yang dijual di pasaran diperbuat daripada usus babi dan dicampurkan perisa sotong, selain ada pengguna media sosial yang meragui cap halal yang dicetak di label pembungkusan.

Encik Idris berkata pihaknya turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak KPDNHEP bersama Jabatan Agama Islam Negeri Selangor, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis yang tangkas menyiasat serta meneliti segenap aspek isu tersebut.

Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Kimia Malaysia kerana memberikan keutamaan kepada sampel itu untuk dianalisis.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan