Isteri kuatkan semangat hadir terima ijazah sarjana arwah suami

Gambar: BERNAMA
KUALA NERUS: Perasaan gembira bercampur pilu mengiringi langkah Nor Hidayu Abd Wahab, 30 tahun, ketika naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah sarjana milik arwah suaminya, Mohd Huzir Mohamed pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Ke-12 hari ini (24 Jan).
Allahyarham Mohd Huzir yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada 2020, meninggal dunia tahun lepas akibat serangan jantung pada usia 35 tahun.
Menurut Nor Hidayu, pada mulanya dia berbelah bahagi untuk hadir ke majlis konvokesyen tersebut kerana risau tidak dapat mengawal perasaan sebak ketika berada di atas pentas.
Bagaimanapun, atas sokongan keluarga, dia menguatkan semangat untuk hadir bagi menghargai hasil kerja keras dan usaha arwah suaminya dalam menamatkan pengajian.
"Walaupun sudah mempunyai pekerjaan selesa di jabatan kerajaan, arwah suami sangat berminat dengan ilmu dan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana tidak sampai sebulan selepas kami berkahwin pada 18 Ogos 2018.
"Beliau mempunyai impian untuk bergelar doktor falsafah sebelum usia 40 tahun, tetapi ternyata Allah lebih sayangkan dia," kata Nor Hidayu yang tidak memiliki cahaya mata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.