Skip to main content

Dunia

Isteri anggota tentera komen negatif tentang insiden tikaman Wiranto, suami yang tanggung padahnya

Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengambil tindakan disiplin termasuk menggantung tugas dua anggotanya ekoran tindakan isteri masing-masing membuat komen negatif di media sosial berhubung insiden serangan terhadap Ketua Menteri Keselamatan negara itu, yang berlaku Khamis (10 Okt) lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri anggota tentera komen negatif tentang insiden tikaman Wiranto, suami yang tanggung padahnya

(Gambar hiasan: Rami Al-zayat/Unsplash)

Diterbitkan : 13 Oct 2019 10:05PM Dikemas Kini : 13 Oct 2019 10:06PM

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengambil tindakan disiplin termasuk menggantung tugas dua anggotanya ekoran tindakan isteri masing-masing membuat komen negatif di media sosial berhubung insiden serangan terhadap Ketua Menteri Keselamatan negara itu, yang berlaku Khamis (10 Okt) lalu.

Menurut media tempatan, isteri salah seorang anggota tentera itu juga dirujuk kepada pihak polis kerana melanggar Akta Informasi dan Transaksi Elektronik (ITE).

Ketua Staf TNI (Angkatan Darat), Jeneral Andika Perkasa, berkata isteri anggota tentera berkenaan sudahpun membuat kenyataan berbaur negatif mengenai keadaan Menteri Penyelaras Ehwal Politik, Hukum dan Keamanan Wiranto.

"Individu berkenaan membuat komen di media sosial yang kami anggap telah melanggar Akta ITE. Kami akan membawa kes ini ke mahkamah,” kata Jeneral Andika seperti dipetik oleh media tempatan pada Ahad (13 Okt).

Menurut beliau, anggota tentera berkenaan juga akan dikenakan hukuman ketenteraan. Dia akan ditahan selama 14 hari dan digantung dari jawatannya.

Pada masa sama, Tentera Udara Indonesia turut melaporkan seorang isteri pegawainya kepada polis kerana membuat kenyataan negatif tentang Wiranto.

Dalam catatannya di Facebook pada Khamis lalu, wanita berkenaan mempersoalkan sama ada serangan terhadap Wiranto itu dirancang untuk mengalihkan perhatian orang awam menjelang upacara pelantikan Presiden Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi untuk penggal kedua pada 20 Oktober ini.

“Ini mungkin hanya drama yang dicipta oleh Wir (Wiranto)...untuk mengalihkan perhatian orang ramai sebelum majlis pelantikan presiden tetapi jika benar-benar insiden tikam, saya harap individu yang menyerang berada dalam keadaan baik dan selamat daripada tindakan kekerasan polis dan orang yang ditikam, saya berdoa dia akan mati tidak lama lagi,” menurut tulisan wanita berkenaan yang dipaparkan dalam laman sesawang Tentera Udara Indonesia.

Pada Khamis lalu, Encik Wiranto, bekas komander tentera berusia 72 tahun, cedera ditikam di bahagian perut oleh seorang lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pengganas tempatan ketika menteri itu tiba untuk merasmikan sebuah bangunan universiti di Pandeglang dekat wilayah Banten di Pulau Jawa. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita