Isteri, 2 remaja lelaki mengaku tidak bersalah bunuh CEO Cradle Fund
Isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini (12 Mac) atas pertuduhan membunuh lelaki itu pada Jun 2018.
(Gambar hiasan: AFP)
SHAH ALAM: Isteri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd Nazrin Hassan serta dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi hari ini (12 Mac) atas pertuduhan membunuh lelaki itu pada Jun 2018.
Bekas eksekutif kanan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Samirah Muzaffar, 44 tahun, serta dua remaja lelaki, yang masing-masing berusia 16 tahun dan 13 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.
Wanita itu dan dua remaja lelaki tersebut didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, dengan niat bersama membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara pukul 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga pukul 4.00 pagi, 14 Jun 2018.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan.
Mahkamah menetapkan 11 April ini untuk pengurusan kes.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.