Skip to main content

Dunia

Isteri, 2 anak tiri didakwa bunuh CEO Cradle Fund

Isteri serta dua anak tiri Nazrin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin (4 Mac) atas tuduhan membunuh lelaki itu pada Jun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Isteri, 2 anak tiri didakwa bunuh CEO Cradle Fund

(Gambar hiasan: AFP)

Diterbitkan : 05 Mar 2019 08:33AM Dikemas Kini : 05 Mar 2019 08:36AM

PETALING JAYA: Isteri serta dua anak tiri Nazrin Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd, didakwa di Mahkamah Majistret pada Isnin (4 Mac) atas tuduhan membunuh lelaki itu pada Jun lalu.

Mantan eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Samirah Muzaffar, 44, dan dua anak lelakinya, yang masing-masing berusia 16 dan 13 tahun, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Kedua-dua tertuduh yang masih bawah umur hadir ke mahkamah sekitar pukul 12.45 tengah hari dengan berpakaian seragam sekolah manakala Samirah tiba dalam persalinan baju kurung hitam.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Turut kelihatan di galeri awam adalah puluhan anggota keluarga tiga beranak tersebut, termasuk penganalisis politik dan aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang hadir dengan berkerusi roda.

WANITA, 2 ANAKNYA BERNIAT BUNUH ALLAHYARHAM

Mengikut pertuduhan, wanita itu bersama-sama dua anaknya serta seorang lagi yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa dengan niat bersama membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, antara pukul 11.30 malam pada 13 Jun 2018 hingga pukul 4.00 pagi, 14 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Namun, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jamil Aripin dan Mohd Zain Ibrahim manakala semua tertuduh diwakili peguam LS Leonard.

Mahkamah membenarkan permohonan Encik Jamil supaya kes tersebut dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Majistret Mohamad Ikhwan juga membenarkan permohonan Encik Jamil supaya perintah larangan dikeluarkan terhadap media daripada mendedahkan nama, alamat, tempat tinggal selain dilarang mengambil gambar atau menyiarkan gambar tertuduh yang masih bawah umur di platform media dan cetak serta elektronik.

Memandangkan kes bunuh tidak dibenarkan diikat jamin, Samihah dihantar ke Penjara Kajang manakala dua anaknya masing-masing dihantar ke Asrama Sentosa, Sentul, Kuala Lumpur, dan Sekolah Koreksional Puncak Alam, Selangor.

Dalam satu kenyataan pada Isnin (4 Mac), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, kesemua tertuduh ditahan di kediaman mereka pada pukul 6.45 pagi.

Pada 4 September lalu, Samirah ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu dan pada 9 September lalu, dua anak tiri Nazrin yang berusia 13 dan 16 tahun turut ditahan reman. Bagaimanapun, kesemua mereka dibebaskan selepas tamat reman.

ALLAHYARHAM MENINGGAL DUNIA AKIBAT KECEDERAAN KEPALA

Pada 1 Oktober 2018, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis untuk menggali semula kubur Allahyarham Nazrin bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan untuk membantu siasatan polis berhubung kematiannya itu.

Pada 3 Ogos lalu, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemui kesan petrol di lokasi kebakaran.

Allahyarham maut dalam kebakaran di rumahnya pada 14 Jun 2018, yang pada mulanya dilaporkan sebagai berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Laporan bedah siasat kedua mendapati Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan di kepala dan bukannya berpunca daripada letupan telefon bimbit.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita