Skip to main content

Dunia

Istana Pahang buat aduan polis terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan sentuh isu raja, agama & kaum

Anggaran Waktu Membaca:
Istana Pahang buat aduan polis terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan sentuh isu raja, agama & kaum

(Gambar fail: Muhyiddin Yassin/Facebook)

KUALA LUMPUR: Istana Pahang membuat aduan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, berhubung kenyataannya yang menyentuh isu agama, raja, dan kaum (3R) semasa kempen semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Gua Musang, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang, Amir Syaffiq Hamzah, laporan itu dibuat selepas menonton rakaman video di platform YouTube yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun.

Beliau berkata, kenyataan Encik Muhyiddin dianggap berbahaya kerana boleh menghasut rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi Raja-raja Melayu dan memecahbelahkan rakyat, lapor agensi berita Astro Awani.

"Ia juga bersifat fitnah dan menghasut selain menyentuh isu 3R. Malah, kenyataan tersebut jelas menjejaskan nama baik Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Disebabkan itu saya tampil membuat laporan bagi membolehkan tindakan adil, tegas dan tanpa kompromi dikenakan ke atas Muhyiddin," kata Encik Amir Syaffiq, dipetik daripada Astro Awani.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Ahad malam (19 Ogos).

Sebelum ini, Encik Amir Syaffiq menjelaskan, dalam rakaman tersebut, Encik Muhyiddin didakwa menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah, tidak menjemputnya ke Istana Negara untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun beliau mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.

"Jadi, kenyataan ini adalah bersifat sinis, memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah (sebagai Agong pada ketika itu) seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri sedangkan pelantikan dibuat dengan teliti serta mengikut Perlembagaan," katanya, menurut Astro Awani.

Sebelum ini, tular di media sosial ucapan mantan Perdana Menteri itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Pada Ahad, Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, pihak polis telah menerima 28 aduan terhadap pengerusi Perikatan Nasional tersebut yang didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri.

Beliau menambah bahawa siasatan akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita