Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel usir peguam Palestin ke Perancis atas sebab keselamatan

Anggaran Waktu Membaca:
Israel usir peguam Palestin ke Perancis atas sebab keselamatan

Peguam Salah Hamouri (kanan) tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle, Paris pada 18 Disember 2022 setelah diusir dari Israel. (Gambar: Daphné Benoit/AFP)

Diterbitkan : 18 Dec 2022 07:24PM Dikemas Kini : 18 Dec 2022 07:24PM
BAITULMAKDIS: Israel mengusir peguam hak asasi manusia berketurunan Perancis dan Palestin, Salah Hamouri, ke Perancis pada Ahad (18 Dis).

Israel menuduh Encik Salah atas kesalahan keselamatan, menurut Kementerian Dalam Negeri Israel menerusi satu kenyataan.

Encik Salah, 37 tahun, yang menetap di Baitulmakdis sepanjang hayatnya, dihantar ke lapangan terbang di mana beliau menaiki penerbangan ke Perancis pada awal pagi, dengan penyokongnya berkata tiada cara keluar undang-undang yang boleh diambilnya.

Israel menarik balik kerakyatan Encik Salah pada 1 Disember atas dakwaan bahawa beliau bergiat dalam Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin (PFLP), yang disenaraikan oleh Israel dan sekutu-sekutu baratnya sebagai kumpulan pengganas, lapor Reuters.

Encik Salah sebelum ini disabit kesalahan oleh Israel kerana cuba membunuh ketua kumpulan Yahudi, Ovadia Yossef, pengasas parti ultra Ortodoks Shas. Namun beliau menegaskan beliau tidak bersalah.

"Sepanjang hidupnya, beliau mengatur, mencetus inspirasi dan merancang untuk melancarkan serangan pengganas secara bersendirian dan untuk pertubuhan tersebut terhadap rakyat Israel yang dikenali," menurut satu kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

Penyokong Encik Salah bagaimanapun menyatakan pengusiran itu merupakan satu pencabulan undang-undang antarabangsa.

"Di mana sahaja seorang warga Palestin pergi, beliau akan membawa dengannya prinsip-prinsip dan perjuangan rakyatnya: tanah airnya dibawa ke mana jua beliau pergi," kata Encik Salah dalam satu kenyataan.

Encik Salah baru-baru ini ditahan oleh Israel di bawah penahanan pentadbiran tanpa sebarang tuduhan pada 7 mac hingga 1 Disember.

Encik Salah merupakan salah seorang daripada 1,027 tahanan yang dibebaskan Israel pada 2011 sebagai pertukaran dengan tentera Gilad Shalit, yang ditahan Hamas di Carikan Gaza selama lebih lima tahun.

Encik Salah memegang kerakyatan Perancis menerusi ibunya. Konsulat Perancis di Baitulmakdis tidak membalas sebarang permintaan untuk mengulas pada Ahad.

"Beliau tidak melakukan sebarang jenayah untuk diusir dari tanah airnya dan dihalau ke sebuah negara lain, di mana beliau menetap untuk tempoh yang singkat, meskipun beliau memegang kerakyatan negara tersebut," kata seorang anggota Suruhanjaya Eksekutif bagi Pertubuhan Pembebasan Palestin, Ahmad Majdalani, kepada Reuters.
Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa