Israel umum sekatan keselamatan di al-Aqsa sempena Ramadan
Israel mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan apa yang disifatkan sebagai “sekatan keselamatan” di pekarangan Masjid al-Aqsa di Kota Lama Baitulmakdis semasa bulan suci Ramadan, yang bermula hujung minggu ini.

Israel mengumumkan “sekatan keselamatan” di pekarangan Masjid al-Aqsa di Kota Lama Baitulmakdis semasa bulan suci Ramadan. (Gambar fail: Reuters)
Semasa Ramadan, beratus-ratus ribu rakyat Palestin datang untuk bersembahyang di al-Aqsa, masjid ketiga paling utama bagi umat Islam yang terletak di Baitulmakdis Timur - kawasan Kota Suci yang diduduki dan diambil alih secara paksa oleh Israel.
Tahun ini, Ramadan disambut ketika gencatan senjata dikuatkuasakan di Gaza, yang sebahagian besarnya telah menghentikan pertempuran selepas perang dahsyat mengorbankan puluhan ribu nyawa di wilayah Palestin itu.
“Sekatan keselamatan awam seperti biasa akan dilaksanakan seperti setiap tahun,” kata jurucakap pemerintah Israel, David Mencer, dalam taklimat kepada para wartawan.
Tahun lalu, semasa perang di Gaza, pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan ke atas pengunjung yang datang ke al-Aqsa, terutamanya terhadap rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki.
Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita berusia lebih 50 tahun dibenarkan memasuki pekarangan masjid “atas sebab keselamatan,” manakala ribuan pegawai polis Israel ditempatkan di seluruh Kota Lama Baitulmakdis.
Encik Mencer berkata, langkah berjaga-jaga akan diambil sekali lagi tahun ini.
“Apa yang kami tidak boleh benarkan dan tiada negara pun akan membenarkan ialah tindakan orang yang ingin mencetuskan keganasan dan serangan terhadap orang lain,” katanya, tanpa memperincikan penempatan polis tahun ini.
Pekarangan Masjid al-Aqsa merupakan lambang identiti Palestin.
Mengikut konvensyen lama, orang Yahudi dibenarkan melawat tetapi tidak dibenarkan bersembahyang di kawasan tersebut, yang mereka hormati sebagai tapak kuil kedua mereka, yang dimusnahkan oleh Rom pada tahun 70 Masihi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai golongan ultra Yahudi telah melanggar peraturan ini termasuk ahli politik sayap kanan Itamar Ben-Gvir, yang secara terbuka bersembahyang di sana semasa beliau berkhidmat sebagai Menteri Keselamatan Israel pada 2023 dan 2024.
Pemerintah Israel berulang kali menyatakan bahawa hasrat untuk mengekalkan status quo di pekarangan itu, tetapi kebimbangan Palestin mengenai masa depannya telah menjadikan lokasi tersebut sebagai titik panas keganasan.
Tahun lalu, Israel membenarkan umat Islam beribadah di al-Aqsa dalam jumlah yang sama seperti tahun sebelumnya walaupun perang sedang berlaku di Gaza.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.