Skip to main content

Dunia

Israel tutup kedutaan di merata dunia selepas serang Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Israel tutup kedutaan di merata dunia selepas serang Iran

Bendera Israel berkibar di kedutaannya di Berlin, Jerman pada 20 Okt 2024. (Gambar fail: REUTERS/Lisi Niesner/ File)

Diterbitkan : 13 Jun 2025 09:55PM Dikemas Kini : 13 Jun 2025 09:59PM
  • Israel menutup kedutaannya di merata dunia dan menggesa rakyatnya agar berwaspada serta tidak mempamerkan simbol Yahudi atau Israel di tempat awam.
  • Israel tidak akan menyediakan perkhidmatan konsular dan menggesa rakyatnya agar bekerjasama dengan khidmat keselamatan tempatan sekiranya berdepan dengan sebarang tindakan musuh.
  • Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang telah berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat, berkata Jerman sedang meningkatkan perlindungan di tapak-tapak Yahudi dan Israel di negaranya.
  • Presiden Amerika Donald Trump membayangkan, Iran sendiri yang mengundang serangan itu dengan menolak tuntutan Washington dalam rundingan untuk mengehadkan program nuklearnya.
Dijana oleh AI
COPENHAGEN/LONDON: Israel menutup kedutaannya di merata dunia dan menggesa rakyatnya agar berwaspada serta tidak mempamerkan simbol Yahudi atau Israel di tempat awam. Demikian menurut kenyataan yang dipaparkan di laman web kedutaan Israel pada hari Jumaat (13 Jun) selepas Israel melancarkan serangan berskala besar ke atas Iran.

Menurut kenyataan itu, Israel tidak akan menyediakan perkhidmatan konsular dan menggesa rakyatnya agar bekerjasama dengan khidmat keselamatan tempatan sekiranya berdepan dengan sebarang tindakan musuh. Namun, ia tidak menyebut berapa lama kedutaannya akan ditutup.

Kementerian luar Israel tidak segera memberi jawapan apabila ditanya mengenai perkara itu.

Warga Israel di luar negara digalakkan mengisi borang untuk memberi kemas kini kepada kementerian luar mengenai lokasi mereka. Ini juga dilakukan selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 bagi menyelaraskan kepulangan tentera simpanannya serta mengatur penerbangan dalam gerakan menyelamat.

"Berikutan perkembangan terkini, kedutaan Israel di seluruh dunia akan ditutup dan perkhidmatan konsular tidak akan disediakan," menurut kenyataan itu.

Canselor Jerman, Friedrich Merz, yang telah berbincang dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Jumaat, berkata Jerman sedang meningkatkan perlindungan di tapak-tapak Yahudi dan Israel di negaranya.

Kawasan sekitar kedutaan Israel di Berlin sunyi sepi, dengan kehadiran beberapa anggota polis dan kereta polis di sekelilingnya.

Kawalan keselamatan yang ditingkatkan amat ketara di luar rumah ibadat utama Yahudi di Stockholm, dengan van dan kereta polis diletakkan berhampiran bangunan tersebut, menurut seorang saksi.

Sebelum ini, Israel menyatakan bahawa ia telah menyerang kemudahan nuklear dan kilang peluru berpandu di Iran serta membunuh sejumlah besar panglima tenteranya dalam apa yang digambarkan sebagai operasi tekal untuk menyekat usaha Tehran membina senjata atom.

Presiden Amerika Donald Trump membayangkan, Iran sendiri yang mengundang serangan itu dengan menolak tuntutan Washington dalam rundingan untuk mengehadkan program nuklearnya. Maka itu, Encik Trump menggesa Iran agar menyetujui rangka perjanjian yang disarankan memandangkan "serangan seterusnya yang sudahpun dirancangkan akan lebih dahsyat."
Sumber : Agensi berita/KH/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita