Skip to main content

Dunia

Israel tuduh Presiden Perancis Emmanuel Macron lancar "kempen tentang negara Yahudi"

Anggaran Waktu Membaca:
Israel tuduh Presiden Perancis Emmanuel Macron lancar "kempen tentang negara Yahudi"

PM Israel Benjamin Netanyahu jabat tangan dengan Presiden Perancis Emmanuel Macron pada 24 Oktober 2023. (Gambar: Pool via REUTERS/Christophe Ena)

BAITULMAKDIS: Israel menuduh Presiden Perancis Emmanuel Macron melancarkan "kempen menentang negara Yahudi" pada Jumaat (30 Mei) selepas beliau menyeru negara-negara Eropah supaya menegaskan pendirian mereka terhadap Israel jika situasi kemanusiaan di Gaza tidak bertambah baik.

"Tiada sekatan kemanusiaan. Itu adalah pembohongan terang-terangan," menurut kementerian luar Israel dalam satu kenyataan, mempertahankan usahanya untuk membenarkan bantuan masuk.

"Bukannya beliau memberi tekanan kepada pengganas jihad, Macron malah mahu memberi ganjaran kepada mereka dengan sebuah negara Palestin. Tidak syak lagi hari kebangsaannya akan menjadi 7 Oktober," tambahnya, merujuk kepada tarikh serangan Hamas pada 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza.

Israel minggu lalu sebahagiannya menarik balik sekatan lebih dua bulan ke atas bekalan yang masuk ke Gaza, yang mengalami kekurangan teruk makanan dan ubat-ubatan walaupun bantuan kemanusiaan yang dibawa lori-lori sudah mula masuk sedikit demi sedikit.

Encik Macron, sementara itu, menekankan kenyataan sokongannya kepada rakyat Palestin sejak kebelakangan ini.

Pada Jumaat, beliau berkata negara-negara Eropah harus "menegaskan kedudukan kolektif" terhadap Israel jika ia tidak bertindak balas dengan sewajarnya terhadap situasi kemanusiaan di Gaza, termasuk membuka kemungkinan sekatan.

"Jika kita meninggalkan Gaza, jika kita menganggap ada kebebasan penuh untuk Israel, walaupun kita mengutuk serangan pengganas, kita akan membunuh kewibawaan kita," kata Encik Macron di forum pertahanan utama di Singapura.

Beliau juga menggesa pengiktirafan bagi sebuah negara Palestin, dengan beberapa syarat, "bukan sahaja kewajipan moral, tetapi keperluan politik".

Perancis menjadi tuan rumah bersama dengan Arab Saudi bagi satu persidangan antarabangsa di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York yang bertujuan untuk menghidupkan semula idea huraian dua negara kepada konflik Israel-Palestin, hasil yang ditentang oleh pemerintah Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Dalam kenyataannya pada Jumaat, kementerian luar Israel menyatakan: "Hamas, bagi pihaknya, memuji kenyataan Macron. Hamas tahu mengapa."
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita