Israel tuduh Eropah lakukan 'hasutan anti-Yahudi' susuli insiden tembakan di Washington
Menteri Ehwal Luar Israel Gideon Saar pada Khamis (22 Mei) menuduh para pegawai Eropah, yang tidak didedahkan namanya, melakukan "hasutan anti-Semitik yang berbahaya".

Peguam Negara Amerika Syarikat Pam Bondi dan Duta Israel ke Amerika Syarikat Yechiel Leiter berbincang dengan pegawai penguat kuasa undang-undang semasa melawat lokasi kejadian di mana dua kakitangan kedutaan Israel ditembak mati di Washington, DC, pada 22 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Jonathan Ernst)
Beliau mendakwa hasutan itu menyebabkan suasana tidak menyenangkan sehingga berlaku insiden tembakan maut ke atas dua kakitangan kedutaan Israel di Washington.
Israel berdepan kritikan demi kritikan dari Eropah sejak kebelakangan ini sedang ia memperhebat kempen tenteranya di Gaza, di mana kumpulan-kumpulan kemanusiaan sudah memberi amaran bahawa sekatan 11 minggu Israel ke atas bekalan bantuan menyebabkan Gaza berada di ambang kebuluran.
Encik Saar bagaimanapun tidak menyebut mana-mana negara atau nama pegawai tetapi berkata suasana tidak menyenangkan terhadap Israel adalah punca insiden tembakan ke atas dua kakitangan kedutaan Yaron Lischinsky dan Sarah Lynn Milgrim di luar sebuah muzium Yahudi di Washington pada Rabu.
"Hasutan ini juga dilakukan oleh para pemimpin dan pegawai di banyak negara dan pertubuhan terutama sekali dari Eropah," tegas beliau.
Encik Saar enggan mendedahkan pemimpin atau pegawai mana yang dimaksudkan. Sekalipun demikian, kenyataan beliau dibuat selepas kritikan tegas yang semakin kerap daripada sekutu Barat Israel termasuk Perancis dan Britain, yang menyertai Kanada minggu ini yang memberi amaran mengenai kemungkinan "tindakan tegas" diambil terhadap Israel berhubung perang di Gaza.
Para pegawai Amerika Syarikat berkata seorang suspek yang melaungkan slogan-slogan pro-Palestin sudah ditahan. Presiden Donald Trump dan ramai pemimpin Eropah serta pemimpin asing lain mengutuk serangan tersebut.
Encik Saar berkata "suasana global" terhadap Israel sudah memburuk dengan ketara sejak serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 oleh Hamas yang membunuh 1,200 orang dan menyaksikan 251 individu dijadikan tebusan di Carikan Gaza.
Sejak itu, serangan udara dan darat Israel sudah membunuh lebih 53,000 warga Palestin dan menyebabkan Carikan Gaza musnah. Ini sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan di merata dunia.
Tahun lalu, Mahkamah Kehakiman Antarabangsa mengarahkan Israel supaya mengambil tindakan untuk mencegah perbuatan yang dipercayai genosida di Gaza selepas satu kes dikemukakan oleh Afrika Selatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.