Skip to main content

Dunia

Israel tolak tawaran gencatan senjata Hamas; serangan Gaza akan diteruskan

Anggaran Waktu Membaca:
Israel tolak tawaran gencatan senjata Hamas; serangan Gaza akan diteruskan

Seorang kanak-kanak Palestin duduk di atas serpihan bangunan yang musnah di kem Bureij di bahagian tengah Carikan Gaza pada 3 September 2025. (Gambar: Eyad BABA / AFP)

Diterbitkan : 04 Sep 2025 02:31PM Dikemas Kini : 04 Sep 2025 02:59PM
GAZA CITY: Israel pada Rabu (3 Sep) menolak tawaran gencatan senjata menyeluruh yang dikemukakan oleh Hamas.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menegaskan bahawa operasi ketenteraan ke atas Gaza City akan diteruskan sehingga semua syarat Israel dipenuhi.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam (3 Sep), Hamas menawarkan pertukaran tahanan — termasuk pembebasan semua tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza — sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata kekal.

Tawaran itu turut merangkumi pengunduran tentera Israel dari Gaza, pembukaan semula sempadan untuk bantuan kemanusiaan, serta pelantikan pentadbiran teknokrat bebas bagi mengurus hal ehwal awam Gaza.

Encik Netanyahu bagaimanapun menyifatkan tawaran tersebut sebagai satu muslihat politik dan menegaskan Israel hanya akan menghentikan perang sekiranya Hamas menerima kawalan keselamatan penuh Israel ke atas Gaza, pelucutan senjata Hamas, pelantikan pentadbiran bukan Palestin, dan pembebasan semua tebusan tanpa syarat.

Menteri Pertahanan Israel Katz, dalam kenyataan terdahulu memberi amaran bahawa Gaza City akan menerima nasib sama seperti Rafah dan Beit Hanoun, dua bandar yang musnah dalam operasi terdahulu.

Serangan udara dan darat Israel ke atas Gaza City semakin intensif sejak pertengahan Ogos, dengan lebih 1,100 nyawa dilaporkan terkorban di bandar itu sahaja.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, angka korban keseluruhan sejak Oktober 2023 telah melebihi 63,000 orang, kebanyakannya orang awam.

Hamas dalam kenyataan balas menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa agar segera campur tangan bagi menghentikan apa yang disifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang sistematik oleh Israel.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita