Skip to main content

Dunia

Israel terus serang Gaza City, sekurang-kurangnya 60 warga Palestin terbunuh

Tentera Israel meneruskan serangan ke atas Gaza City dan seluruh Carikan Gaza pada Sabtu (20 Sep), memusnahkan terowong bawah tanah dan struktur yang dipasang bahan letupan yang disembunyikan dalam serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Israel terus serang Gaza City, sekurang-kurangnya 60 warga Palestin terbunuh

Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal, melarikan diri dari utara Gaza akibat operasi ketenteraan Israel pada 20 September 2025. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)

BAITULMAKDIS: Tentera Israel meneruskan serangan ke atas Gaza City dan seluruh Carikan Gaza pada Sabtu (20 Sep), memusnahkan terowong bawah tanah dan struktur yang dipasang bahan letupan yang disembunyikan dalam serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 60 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza.

Serangan itu berlaku ketika 10 negara, termasuk Australia, Belgium, Britain dan Kanada, dijadual mengiktiraf secara rasmi sebuah negara Palestin yang merdeka pada Isnin, menjelang perhimpunan pemimpin tahunan di Perhimpunan Agung PBB minggu depan.

Kempen pemusnahan tentera Israel yang semakin sengit menyasarkan bangunan-bangunan tinggi di Gaza City bermula minggu ini bersama-sama dengan serangan darat.

Pasukannya, yang mengawal pinggir timur Gaza City, menyerang kawasan Sheikh Radwan dan Tel Al-Hawa dari mana mereka akan ditempatkan untuk mara ke bahagian tengah dan barat bandar.

Sebahagian besar penduduk Gaza City berlindung di kawasan-kawasan itu.

Pihak tentera menganggarkan ia sudah memusnahkan sehingga 20 blok menara di Gaza City sepanjang dua minggu lalu. Ia juga percaya, menurut media Israel, bahawa lebih 500,000 orang sudah meninggalkan bandar itu sejak awal September.

Kumpulan Hamas, yang menguasai Gaza, mempertikaikan dakwaan ini, mengatakan hanya kurang daripada 300,000 orang yang sudah pergi dan kira-kira 900,000 kekal, termasuk tebusan Israel.

Di Telegram, sayap tentera Hamas sebelum ini mengeluarkan imej seperti montaj tebusan Israel, memberi amaran bahawa nyawa mereka berisiko akibat operasi ketenteraan Israel di Gaza City.

Hamas juga menganggarkan bahawa sejak 11 Ogos, tentera Israel sudah memusnahkan atau merosakkan lebih 1,800 bangunan kediaman di Gaza City, dan memusnahkan lebih 13,000 khemah yang menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.

Dalam hampir dua tahun pertempuran, serangan Israel sudah membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin, menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, memburukkan keadaan kebuluran, memusnahkan kebanyakan struktur dan menyebabkan kebanyakan penduduk kehilangan tempat tinggal, dalam banyak kes berkali-kali.

Israel menyatakan krisis kebuluran di Gaza dibesar-besarkan dan banyak kesalahan terletak pada Hamas.

COGAT, cabang tentera Israel yang mengawasi aliran bantuan ke dalam kawasan itu, berkata sebelum ini bahawa Hamas melepaskan tembakan ke arah pasukan PBB pada Sabtu dan menghalang pembukaan laluan kemanusiaan baharu di selatan Carikan Gaza.

Hamas secara mutlak menolak dakwaan itu, dengan menyatakan kumpulan-kumpulan jenayah yang diberi perlindungan menerusi tembakan dan perlindungan udara Israel menyerang trak bantuan, merompak dan mencuri. PBB tidak dapat dihubungi segera untuk mengulas.

"Kami menyeru siang dan malam (agar) pertubuhan PBB menjalankan kerja kemanusiaan dan bantuan mereka," kata seorang pegawai media kanan Hamas kepada Reuters.

Perang bermula selepas Hamas memimpin serangan di Israel pada 7 Oktober 2023, membunuh 1,200 orang dan menawan 251 tebusan. Sebanyak 48 tebusan kekal di Gaza, dan kira-kira 20 daripadanya dipercayai masih hidup.
Sumber : Reuters/NK/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita