Skip to main content

Dunia

Israel terus bedil pinggir Gaza City

Anggaran Waktu Membaca:
Israel terus bedil pinggir Gaza City

Kepulan asap muncul berikutan serangan Israel di Gaza City pada 24 Ogos 2025. (Gambar: Reuters/Dawoud Abu Alkas)

Diterbitkan : 24 Aug 2025 09:38PM
BAITULMAKDIS: Pesawat dan kereta kebal Israel membedil bahagian timur dan utara Gaza City sepanjang malam pada Sabtu (23 Ogos) hingga Ahad (24 Ogos), menimpakan kemusnahan terhadap bangunan dan rumah-rumah, menurut para penduduk.

Ini sedang para pemimpin Israel bertekad meneruskan serangan yang dirancang ke atas bandar itu.

Para saksi melaporkan mendengar bunyi letupan tanpa henti semalaman di kawasan Zeitoun dan Shejaia, manakala kereta-kereta kebal membedil rumah dan jalan raya di kawasan kejiranan Sabra yang berhampiran dan beberapa bangunan diletupkan di bandar utara Jabalia.

Tentera Israel menyatakan pada Ahad bahawa askar-askarnya kembali bertempur di kawasan Jabalia sejak beberapa hari kebelakangan ini untuk memusnahkan terowong Hamas dan mengukuhkan kawalan ke atas kawasan itu.
Ia menambah operasi di kawasan itu "membolehkan pertempuran diluaskan ke kawasan tambahan dan menghalang Hamas daripada kembali beroperasi di kawasan terbabit".

Israel meluluskan satu rancangan bulan ini untuk menakluki Gaza City, sambil menyifatkannya sebagai kubu terakhir Hamas.

Ia tidak dijangka bermula sehingga beberapa minggu akan datang, untuk memberi masa kepada pihak pengantara dari Mesir dan Qatar untuk cuba mengadakan semula rundingan gencatan senjata antara kedua-dua pihak.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Ahad berikrar untuk meneruskan dengan serangan itu, sekali gus menimbulkan kebimbangan dan bantahan masyarakat dari luar dan dalam negara.

"KAMI TIDAK AKAN BEREDAR"

Kira-kira separuh daripada 2 juta penduduk di Carikan Gaza kini tinggal di Gaza City.

Beribu-ribu penduduk sudah pun beredar, membawa barang-barang mereka di atas kenderaan dan beca.

Ada juga yang berkata mereka tidak akan meninggalkan tempat itu, tidak kira apa pun yang terjadi.

Serangan tentera Israel terhadap Hamas sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 62,000 rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut kementerian kesihatan Gaza.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita