Israel terima mayat seorang lagi tebusan di Gaza
Israel pada Isnin (27 Okt) menyatakan bahawa pasukan Palang Merah telah menyerahkan mayat seorang lagi tebusan di Gaza kepada tentera Israel, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri Israel.
Palang Merah membawa mayat tebusan yang terkorban — yang ditahan di Gaza sejak serangan pada 7 Oktober 2023 — selepas diserahkan oleh Hamas sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tebusan dengan tahanan antara Hamas dan Israel, di Gaza City pada 27 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Dawoud Abu Alkas)
This audio is generated by an AI tool.
Apabila identiti tebusan itu disahkan, ini bermakna masih terdapat 12 lagi mayat tebusan di Gaza, dengan Hamas menyatakan bahawa usaha untuk mengesan mayat-mayat itu terhambat oleh runtuhan akibat pertempuran.
Awal Isnin (27 Okt), sayap bersenjata Hamas memaklumkan bahawa ia akan menyerahkan mayat seorang tebusan yang ditemui pada hari yang sama di Gaza.
Usaha mencari dan menyerahkan mayat tebusan di Gaza menjadi antara rintangan terhadap perjanjian gencatan senjata Gaza yang diusahakan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Jurucakap pemerintah Israel pada Ahad (26 Okt) mendakwa bahawa Hamas mengetahui lokasi mayat-mayat berkenaan.
Pada Ahad, Israel turut membenarkan kemasukan sebuah pasukan teknikal dari Mesir untuk bekerjasama dengan Palang Merah dalam usaha mencari mayat-mayat tersebut.
Pasukan itu akan menggunakan jentolak dan lori bagi menjalankan kerja tersebut di luar kawasan yang dikenali sebagai "garisan kuning" di Gaza, iaitu kawasan di mana tentera Israel sebelum ini berundur dari Gaza di bawah pelan Encik Trump.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.