Israel setuju laksana fasa pertama pelan damai Gaza usulan Trump
Susulan maklum balas Hamas terhadap pelan damai Gaza yang diusulkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menyatakan kesediaan untuk melaksanakan “peringkat pertama pelan Trump bagi pembebasan segera semua tebusan.”
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bercakap semasa sidang media di pejabat Perdana Menteri di Baitulmakdis, pada 10 Ogos 2025. (Gambar fail: AP/Abir Sultan/Pool)
“Kami akan terus bekerjasama sepenuhnya dengan Presiden Trump dan pasukannya untuk menamatkan perang, selaras dengan prinsip yang digariskan oleh Israel, yang seiring dengan visi Encik Trump bagi menamatkan peperangan ini,” menurut kenyataan itu, seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyebut tentang gesaan Presiden Trump agar Israel “segera” menghentikan pengeboman di Gaza.
Perkara itu merupakan sesuatu yang ditegaskan Encik Trump sebagai langkah penting bagi memastikan keselamatan pembebasan tebusan Israel, lapor Astro Awani.
Awal daripada itu, Encik Trump mendesak Israel supaya segera menghentikan pengeboman di Gaza selepas Hamas menyatakan kesediaan untuk membebaskan tebusan di bawah pelan gencatan senjatanya.
“Berdasarkan kenyataan terbaharu Hamas, saya percaya mereka bersedia untuk keamanan berkekalan. Israel mesti segera hentikan pengeboman Gaza, agar kita dapat bebaskan tebusan dengan selamat dan cepat!” tulis Encik Trump dalam catatan di platform Truth Social miliknya, pada Jumaat (3 Okt), seperti yang dipetik Astro Awani.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.