Skip to main content

Dunia

Israel setuju bincang gencatan senjata Gaza; tolak perubahan diusulkan Hamas

Anggaran Waktu Membaca:
Israel setuju bincang gencatan senjata Gaza; tolak perubahan diusulkan Hamas

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di sidang media di Tel Aviv pada 13 Julai 2024. (Gambar: Nir Elias/AFP)

Diterbitkan : 06 Jul 2025 12:27PM Dikemas Kini : 06 Jul 2025 12:32PM
BANDAR GAZA: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata beliau menghantar sebuah delegasi ke Qatar pada Ahad (6 Jul) untuk mengadakan perbincangan mengenai gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza, selepas Hamas berkata ia bersedia untuk memulakan rundingan dengan "segera".

Tetapi Encik Netanyahu, yang dijadualkan bertemu dengan Presiden Donald Trump di Washington pada Isnin (7 Jul) berkata saranan Hamas untuk mengubah draf perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika "tidak boleh diterima".

Encik Trump telah membuat desakan baharu untuk menamatkan perang hampir 21 bulan di Gaza, di mana agensi pertahanan awam mendedahkan 42 orang terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel pada Sabtu (5 Jul).

Hamas berkata pada Jumaat bahawa ia bersedia "melibatkan diri dengan serta-merta dan serius" dalam rundingan tersebut dan sudah menghantar maklum balasnya kepada saranan gencatan senjata itu.

"Perubahan yang Hamas cuba lakukan dalam saranan Qatar telah disampaikan kepada kami malam tadi dan tidak boleh diterima oleh Israel," menurut satu kenyataan dari pejabat Encik Netanyahu.

"Berdasarkan penilaian terhadap situasi itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu telah mengarahkan agar undangan untuk menyertai rundingan itu diterima dan usaha untuk membebaskan para tebusan -- atas dasar saranan Qatar yang telah dipersetujui Israel -- diteruskan," tambah kenyataan itu.

Hamas tidak memperincikan secara terbuka maklum balasnya terhadap saranan gencatan senjata itu, yang dihantar oleh pengantara dari Qatar dan Mesir.

Dua sumber Palestin yang rapat dengan perbincangan itu memberitahu AFP bahawa saranan itu termasuk gencatan senjata selama 60 hari, di mana Hamas akan membebaskan 10 tebusan hidup dan beberapa mayat sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel.

Bagaimanapun, mereka berkata, kumpulan itu juga menuntut syarat-syarat tertentu untuk pengunduran Israel, jaminan pertempuran tidak akan disambung semula semasa rundingan, dan pengembalian sistem pengagihan bantuan yang diterajui oleh PBB.

Encik Trump, ketika ditanya mengenai tindak balas Hamas semasa dalam pesawat Air Force One berkata: "Itu bagus. Mereka tidak memberi taklimat kepada saya mengenainya. Kami perlu menyelesaikannya. Kami perlu melakukan sesuatu tentang Gaza."

Peperangan di Gaza bermula dengan serangan Hamas pada Oktober 2023 ke atas Israel, yang mencetuskan serangan besar-besaran Israel di wilayah itu yang bertujuan untuk memusnahkan Hamas dan membawa pulang semua tebusan yang diculik oleh Hamas.

Dua gencatan senjata sebelum ini yang diusahakan oleh Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat memastikan penghentian sementara pertempuran dan pembebasan tebusan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.

Daripada 251 tebusan yang ditahan oleh Hamas semasa serangan pada Oktober 2023, 49 masih ditahan di Gaza, termasuk 27 orang yang menurut tentera Israel sudah mati.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita