Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Israel serang utara Gaza pada hari pertama tahun baharu

Anggaran Waktu Membaca:
Israel serang utara Gaza pada hari pertama tahun baharu
Diterbitkan : 02 Jan 2025 06:58AM Dikemas Kini : 02 Jan 2025 06:59AM
KAHERAH: Tentera Israel meneruskan tekanan ke atas utara Gaza pada Rabu (1 Jan), menyerang pinggir bandar Gaza, kata para pegawai perubatan dan memberitahu para penduduk di bahagian tengah wilayah tersebut untuk berpindah dari kawasan di mana kumpulan militan melancarkan roket.

Serangan udara ke atas Shejaia, pinggir bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin, menurut khidmat kecemasan tempatan. Tiada komen segera daripada tentera Israel dan tidak jelas siapa yang terbunuh dalam serangan itu.

Di al-Buriej, di bahagian tengah Gaza, tentera Israel menyerang militan yang beroperasi di kawasan di mana roket telah dilancarkan ke Israel pada hari sebelumnya.

Jurucakap tentera Israel telah mengarahkan orang ramai untuk meninggalkan kawasan itu sebelum ia diserang.

Agensi berita Palestin WAFA melaporkan dua orang terbunuh dalam serangan itu dan 15 yang lain dalam serangan udara di Jabalia.

Tiada pengesahan segera daripada para pegawai kesihatan Gaza. Tentera Israel mendakwa ia membunuh para anggota Hamas dalam serangan itu.

Sebahagian besar kawasan di sekitar bandar utara Beit Hanoun, Jabalia dan Beit Lahiya telah dikosongkan, mencetuskan spekulasi, yang dinafikan Israel, bahawa ia merancang untuk mengekalkan kawasan itu sebagai zon penampan selepas pertempuran di Gaza berakhir.

Israel menegaskan bahawa kempennya yang hampir tiga bulan di utara Gaza bertujuan untuk menghalang Hamas daripada berkumpul semula. Arahannya kepada orang awam untuk berpindah bertujuan untuk mengelakkan mereka daripada bahaya, dakwa tentera Israel.

Para pegawai Palestin dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata tiada tempat yang selamat di Gaza dan pemindahan hanya memburukkan lagi keadaan kemanusiaan di kawasan-kawasan itu.

Menurut pertahanan awam Palestin, lebih 1,500 khemah yang melindungi orang yang terlantar di seluruh Gaza terjejas teruk akibat hujan lebat sejak dua hari lalu, menyebabkan orang ramai terdedah kepada kesejukan dan kerosakan harta benda mereka.

Kempen Israel di Gaza telah membunuh lebih 45,500 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan wilayah yang dikendalikan Hamas. Sebahagian besar daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal akibat peperangan itu.

Peperangan itu dicetuskan oleh serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Okt 2023, di mana 1,200 orang terbunuh dan 251 lagi dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel.
 
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan