Skip to main content

Dunia

Israel serang tapak nuklear Iran, peluru berpandu rosakkan hospital Israel

Anggaran Waktu Membaca:
Israel serang tapak nuklear Iran, peluru berpandu rosakkan hospital Israel

Petugas kecemasan di dalam sebuah bangunan yang rosak susuli serangan peluru berpandu dari Iran, pada 19 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Ammar Awad)

Diterbitkan : 19 Jun 2025 04:58PM Dikemas Kini : 19 Jun 2025 04:59PM
BAITULMAKDIS: Israel menyerang tapak nuklear utama Iran pada Khamis (19 Jun) dan peluru berpandu Iran pula menyebabkan sebuah hospital Israel rosak. Ini sedang Presiden Donald Trump membuat dunia tertanya-tanya sama ada Amerika Syarikat akan menyertai Israel dalam serangan udara yang bertujuan untuk memusnahkan kemudahan nuklear Tehran.

Serangan udara dan peluru berpandu Israel sepanjang seminggu terhadap pesaing utamanya sudah menghapuskan eselon tertinggi perintah tentera Iran, merosakkan keupayaan nuklearnya dan membunuh ratusan orang, manakala serangan balas Iran membunuh sekurang-kurangnya 24 orang awam di Israel.

Tentera Israel menyatakan ia menyasarkan reaktor nuklear Khondab di Arak, Iran semalaman, termasuk reaktor penyelidikan air beratnya yang separa siap. Reaktor air berat menimbulkan risiko percambahan nuklear kerana ia boleh menghasilkan plutonium dengan mudah, yang, seperti uranium yang diperkaya, boleh digunakan untuk membuat teras bom atom.

Media Iran melaporkan dua peluru berpandu mengenai kawasan berhampiran kemudahan itu, yang sudah dipindahkan, dan tiada laporan mengenai ancaman radiasi.

Tentera Israel menyatakan ia juga menyerang tapak di kawasan Natanz, yang menurutnya mengandungi komponen dan peralatan khusus yang digunakan untuk memajukan pembangunan senjata nuklear.

Pada Khamis pagi, beberapa peluru berpandu Iran menyasarkan kawasan berpenduduk di Israel, termasuk sebuah hospital di selatan negara itu, menurut seorang pegawai tentera Israel.

Jejak peluru berpandu dan usaha pemintasan kelihatan di langit di Tel Aviv, dengan letupan kedengaran apabila peluru berpandu yang masuk dipintas. Media Israel juga melaporkan serangan langsung di tengah Israel.

Khidmat kecemasan menyatakan lima orang cedera parah dalam serangan itu dan berpuluh-puluh lagi cedera di tiga lokasi berasingan. Orang ramai masih terperangkap di sebuah bangunan di kejiranan selatan Tel Aviv, tambah mereka.

Kira-kira 12 kedutaan dan misi diplomatik kebanyakannya dari Eropah dan Afrika terletak hanya beberapa ratus meter dari lokasi serangan di Tel Aviv.

Gambar-gambar menunjukkan bangunan rosak teruk di Ramat Gan berhampiran Tel Aviv dan pekerja kecemasan membantu penduduk, termasuk kanak-kanak. Pusat Perubatan Soroka di Beersheba, di selatan Israel, melaporkan ia sudah mengalami kerosakan.

Pengawal Revolusi Iran menyatakan pihaknya menyasarkan ibu pejabat tentera dan perisikan Israel berhampiran hospital.
Kepulan asap dilihat dari sebuah bangunan kompleks hospital Soroka selepas ia diserang peluru berpandu yang dilepaskan dari Iran di Be'er Sheva, Israel, 19 Jun 2025. (Gambar: AP/Leo Correa)
Konflik terburuk antara dua kuasa serantau itu menimbulkan kebimbangan bahawa ia akan menarik kuasa dunia dan menjejaskan kestabilan Timur Tengah.

Bercakap kepada wartawan di luar Rumah Putih pada Rabu, Encik Trump enggan menyatakan sama ada beliau sudah membuat sebarang keputusan sama ada untuk menyertai kempen udara Israel. "Saya mungkin akan melakukannya. Saya mungkin tidak akan melakukannya. Maksud saya, tiada siapa yang tahu apa yang akan saya lakukan," katanya.

Encik Trump, dalam kenyataan kemudian, menyatakan pegawai Iran mahu datang ke Washington untuk mesyuarat. "Kami mungkin akan melakukannya," katanya, sambil menambah, "sudah agak terlambat" untuk perbincangan sedemikian.

Pemimpin Agung Iran Ayatollah Ali Khamenei membidas seruan Encik Trump sebelum ini agar Iran menyerah diri dalam ucapan yang dirakam yang disiarkan di televisyen, penampilan pertamanya sejak Jumaat.

"Sebarang campur tangan tentera Amerika Syarikat pasti akan disertai dengan kerosakan yang tidak dapat diperbaiki," katanya. "Bangsa Iran tidak akan menyerah."

Iran menafikan ia sedang mencari senjata nuklear dan mengatakan programnya adalah untuk tujuan damai sahaja. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa minggu lalu berkata Tehran melanggar kewajipannya untuk tidak menyebarkan senjata nuklear buat kali pertama dalam 20 tahun.

Menteri-menteri luar Jerman, Perancis dan Britain merancang untuk mengadakan perbincangan nuklear dengan rakan sejawat Iran mereka pada Jumaat di Geneva untuk menggesa Iran kembali ke meja rundingan, menurut sumber diplomatik Jerman kepada Reuters.

Israel, yang bukan pihak kepada Perjanjian Tidak Menyebarkan Senjata Nuklear antarabangsa, adalah satu-satunya negara di Timur Tengah yang dipercayai mempunyai senjata nuklear. Israel tidak menafikan atau mengesahkan perkara itu.

SERUAN DIPLOMASI

Encik Trump sudah mengubah pendirian dari mencadangkan huraian diplomatik segera bagi perang tersebut kepada mencadangkan Amerika Syarikat mungkin akan menyertainya.

Sumber yang biasa dengan perbincangan dalaman berkata Encik Trump dan pasukannya sedang mempertimbangkan pilihan yang termasuk menyertai Israel dalam serangan terhadap pemasangan nuklear Iran.

Tetapi prospek serangan Amerika Syarikat terhadap Iran mendedahkan terdapat perpecahan dalam gabungan penyokong yang membawa Encik Trump memperoleh kuasa, dengan beberapa pangkalan penyokongnya menggesa beliau agar tidak melibatkan negara itu dalam perang Timur Tengah yang baharu.

Senator Kanan Demokrat Amerika Syarikat menggesa Encik Trump untuk mengutamakan diplomasi dan mencari perjanjian yang mengikat untuk menghalang Iran daripada memiliki senjata nuklear, sambil menyatakan kebimbangan mengenai pendekatan pentadbirannya.

"Kami bimbang dengan kegagalan pentadbiran Trump untuk memberikan jawapan kepada soalan-soalan asas. Mengikut undang-undang, presiden mesti berunding dengan Kongres dan mendapatkan kebenaran jika beliau mempertimbangkan untuk membawa negara itu berperang," kata mereka dalam satu kenyataan.

"Beliau berhutang kepada Kongres dan rakyat Amerika strategi untuk pelibatan Amerika Syarikat di rantau ini."

Dalam catatan media sosial pada Selasa, Encik Trump mempertimbangkan kemungkinan membunuh Ayatollah Ali Khamenei.

Presiden Rusia Vladimir Putin, ketika ditanya apa reaksinya jika Israel membunuh Pemimpin Agung Iran itu dengan bantuan Amerika Syarikat, berkata pada Khamis: "Saya tidak mahu membincangkan kemungkinan ini. Saya tidak mahu."

Encik Putin berkata semua pihak harus mencari jalan untuk menamatkan permusuhan dengan cara yang memastikan kedua-dua hak Iran untuk tenaga nuklear yang aman dan hak Israel untuk mempunyai keselamatan tanpa syarat bagi negara Yahudi.

Sejak Jumaat, Iran sudah menembak kira-kira 400 peluru berpandu ke Israel, kira-kira 40 daripadanya menembusi pertahanan udara, membunuh 24 orang, semuanya orang awam, menurut pihak berkuasa Israel.

Serangan peluru berpandu Iran menandakan kali pertama dalam beberapa dekad perang bayangan dan konflik proksi bahawa sejumlah besar peluru berpandu yang dilepaskan dari Iran menembusi pertahanan, membunuh rakyat Israel di rumah mereka.

Iran melaporkan sekurang-kurangnya 224 kematian dalam serangan Israel, kebanyakannya orang awam, tetapi belum mengemas kini jumlah itu selama beberapa hari.

Agensi berita aktivis Iran yang berpangkalan di AS, HRANA, berkata 639 orang sudah terbunuh dalam serangan Israel dan 1,329 cedera pada 18 Jun. Reuters tidak dapat mengesahkan laporan itu secara bebas.
Sumber : Agensi berita/NK/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita